SUPARMAN (gambar kiri) dan gambar keadaan bayinya yang terpotong jari kelingking akibat kecuaian kakitangan hospital. FOTO Agensi
SUPARMAN (gambar kiri) dan gambar keadaan bayinya yang terpotong jari kelingking akibat kecuaian kakitangan hospital. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Malang nasib seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia apabila jari kelingkingnya terputus ketika kakitangan hospital sedang menggantikan tiub 'Intravenous (IV) cannula' yang dikatakan tersumbat.

Tribunnews melaporkan, insiden itu berlaku di Hospital Muhammadiyah Palembang pada 3 Februari lalu ketika bayi berkenaan sedang dirawat akibat demam

Akibat tidak berpuas hati dengan kecuaian kakitangan, Suparman, 37, iaitu bapa bayi berkenaan membuat laporan di balai polis Palembang sehari selepas kejadian iaitu pada 4 Februari lalu.

Menurut Suparman, dia dan isteri, Sri Wahyuni membawa anak mereka ke hospital swasta di Palembang namun berlaku perkara tidak diinginkan.

"Kakitangan itu hendak menggantikan tiub IV anak yang dikatakan tersumbat.

"Kami beritahu boleh tanggalkan balutan seperti biasa tapi jururawat itu tergopoh-gapah hingga terpotong jari kelingking anak saya," kata Suparman selepas membuat laporan polis.

Bayi perempuan itu sudah dipindahkan di ruang kenamaan (VIP) untuk dibedah supaya lukanya tidak serius dan Suparman memohon pihak hospital bertanggungjawab.

Sementara itu, wakil Pengarah Hospital Muhammadiyah Palembang mengesahkan insiden itu dan akan bertanggungjawab dengan menjalankan pembedahan mengambil masa satu jam 30 minit.

"Pesakit dipantau tiga kali dalam tempoh 24 jam oleh kakitangan dan jika ada masalah perlu berhubung terus dengan doktor.

"Keadaan bayi baik dan dalam keadaan stabil," katanya.

Menurut Muksin, kakitangan itu juga sudah digantung tugas dan tidak dibenarkan merawat pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 1:57 PM