AIR mata berlebihan disebabkan kelenjar air mata tersumbat.
AIR mata berlebihan disebabkan kelenjar air mata tersumbat.
KELENJAR air mata yang tersumbat menyebabkan bengkak
KELENJAR air mata yang tersumbat menyebabkan bengkak
Oleh Zaitie Satibi

Mata kerap berair dan meleleh seperti menangis sering berlaku terhadap warga emas yang disebabkan oleh kelenjar air mata tersumbat.

Seseorang yang mengalami masalah ini mungkin tidak memerlukan rawatan jika gejalanya ringan dan biasanya pembedahan boleh memulihkan kelenjar air mata yang tersumbat.

Namun, mata berair juga boleh berlaku kerana banyak punca lain dan rawatannya bergantung kepada punca terbabit.

Mata berair boleh berlaku di semua peringkat umur tetapi paling kerap dialami oleh bayi dan mereka yang berusia lebih 60 tahun. Air mata berlebihan boleh terjadi pada sebelah atau kedua-dua belah mata.

Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Sree Kumar Palani berkata, kedua-dua mata kita mempunyai kelenjar kecil di bahagian bawah kelopak mata atas dikenali sebagai kelenjar lakrimal.

Kelenjar berkenaan sentiasa menghasilkan sejumlah kecil air mata dan setiap kali kita mengelipkan mata, kelopak mata akan membantu sebarkan air mata berkenaan ke permukaan mata bagi mengekalkan kelembapan pada organ penglihatan itu.

Air mata kemudian mengalir turun menerusi saluran kecil dikenali kanaliculi di bahagian dalaman mata ke dalam kantung air mata. Selepas itu, air mata mengalir turun lagi menerusi kelenjar air mata yang turut dikenali sebagai kelenjar nasolakrimal ke dalam hidung.

"Sebarang benda yang merengsakan mata juga boleh menyebabkan air mata keluar berlebihan. Air mata sebenarnya adalah refleks perlindungan bagi mata dengan membantu menghindar objek yang merengsakan itu.

"Contohnya seperti bahan kimia daripada bawang, asap dan debu, jangkitan pada bahagian depan mata selalunya konjuktivitis, alahan disebabkan keradangan pada mata, kecederaan kecil atau calar pada bahagian depan mata, mata masuk habuk atau bulu mata yang tumbuh ke dalam mata (entropian).

"Punca lain menyebabkan mata berair adalah ketidakseimbangan komposisi air mata akibat lapisan air mata yang tidak normal. Contohnya, kandungan lipid atau minyak pada lapisan luar tidak mencukupi menyebabkan mata sakit dan berair.

"Air mata berlebihan juga disebabkan seseorang menghidap penyakit tiroid mata tetapi ia bukan punca utama", katanya.

Aliran air mata boleh jadi tersumbat di mana-mana peringkat saluran air mata dan biasanya mata berair yang berlaku dalam kalangan orang dewasa disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar air mata yang terletak di bawah kantung mata.

Penyumbatan pula disebabkan berlaku penyempitan secara perlahan-lahan di bahagian atas hujung kelenjar air mata akibat keradangan ringan tetapi berterusan.

Jika seseorang mengalami kelenjar air mata yang tersumbat, ia bukan saja menyebabkan pengumpulan air mata, malah air mata yang bertakung itu juga boleh terkena jangkitan, menyebabkan bengkak yang menyakitkan pada kantung mata.

"Kadangkala kelenjar air mata tidak tersumbat sepenuhnya tetapi ia menyempit sehingga air mata sukar mengalir. Penyumbatan juga boleh berlaku di bahagian kanaliculi atau pintu masuk ke kanaliculi yang disebabkan oleh keradangan atau parut.

"Bagi bayi pula, kadangkala segelintir bayi dilahirkan dengan kelenjar air mata yang tidak terbuka sepenuhnya, menyebabkan pengumpulan air mata dan masalah ini biasanya pulih sendiri beberapa minggu.

"Selain itu, mata berair disebabkan kelopak mata bawah terlipat ke arah luar mata (ectropion), menyebabkan air mata mengalir ke bahagian bawah kelopak mata berbanding mengalir ke kanaliculi dan terus ke kantung mata", katanya.

Dr Sree Kumar berkata, doktor akan periksa bahagian saluran air mata menggunakan anestetik atau bius setempat jika mengesyaki mata berair disebabkan saluran yang bermasalah.

"Batang rod yang halus akan ditolak ke dalam kanaliculi ke arah kantung mata bagi memeriksa sama ada ia tersumbat. Jika batang itu mampu ditolak sehingga kantung mata, cecair yang tersumbat akan bergerak ke kelenjar air mata dan dipastikan sama ada akan keluar melalui hidung.

"Tolakan itu kadangkala membantu menyelesaikan masalah penyumbatan, tetapi ia memberi kelegaan sementara. Jika masih lagi ada penyumbatan, sejenis pewarna akan dimasukkan ke dalam kelenjar air mata dan doktor akan membuat penilaian bersandarkan imej sinar X bagi melihat bahagian yang tersumbat atau mengalami penyempitan.

"Bagaimanapun, ada kala punca mata berair mudah dikesan sama ada disebabkan jangkitan, entropion, ectropion atau konjuktivitis. Jika tiada sebab jelas walaupun pemeriksaan ringkas dijalankan, baru ujian lanjut dijalankan dan itupun bergantung kepada tahap serius masalah", katanya.

Dr Sree Kumar berkata, air mata berlebihan biasanya mudah dirawat, seperti masalah disebabkan oleh entropion dapat diatasi dengan membuang bulu mata yang tumbuh ke dalam, rawat jangkitan jika disebabkan konjuktivitis, manakala objek kecil yang menyebabkan mata berair boleh dibuang.

"Masalah disebabkan oleh ectropion pula boleh diatasi dengan melakukan pembedahan kecil di bahagian kelopak mata bawah.

"Doktor juga akan menjalankan dacrocystorhinostomy (DCR) iaitu pembedahan pada kelenjar air mata yang tersumbat. Saluran baru akan dibina daripada kantung air mata ke dalam bahagian hidung dan air mata kemudian boleh memintas tempat yang tersumbat.

"Pembedahan lain yang jarang dilakukan seperti meniup belon kecil dalam kelenjar air mata untuk meluaskan saluran atau memasukkan sejenis alat bagi menampung dinding saluran supaya kekal terbuka.

"Kanaliculi yang tersumbat sedikit biasanya boleh dipulihkan dengan menolak batang halus ke dalam bahagian itu tetapi jika tersumbat sepenuhnya, pembedahan perlu dilakukan bagi mengalirkan air mata ke dalam hidung", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:01 AM