ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersekat.
ANGGOTA bomba memotong cincin yang tersekat.
myMetro

Ampang: Derita akibat cincin ‘makan’ jari. Itu yang berlaku apabila seorang wanita dan seorang lelaki hampir putus jari tangan akibat cincin dipakai menyebabkan jari mereka bengkak berdarah.

Dalam kes pertama jam 3 petang semalam, lelaki berusia 30-an itu pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, di sini, untuk mencabut cincin di jari manis tangan kanannya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Sani Harul berkata, pihaknya memberikan bantuan khas kepada lelaki itu selepas mendapati kecederaan dialami parah.

Menurutnya, jari tangan lelaki berasal dari Tasek Tambahan di sini, didapati membengkak berikutan saluran darah dipercayai tersumbat.

“Anggota bomba menggunakan peralatan memotong cincin 15 minit tanpa mencederakan jari lelaki itu.

“Kami menasihatkan lelaki itu mendapatkan rawatan susulan di klinik bagi mengelak kecederaan merebak,” katanya.

Dalam kes berasingan di BBP Penchala, seorang wanita muncul di balai itu mendapatkan bantuan mencabut cincin tersekat di jari manis tangan kanan.

Mohd Sani berkata, wanita berusia 30-an itu mempunyai masalah sama iaitu jari tangannya membengkak selepas gagal mengeluarkan cincin dipakai,” katanya.

Menurutnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor semakin kerap menerima panggilan atau mangsa hadir sendiri ke balai untuk bantuan mengeluarkan cincin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 10:13 AM