GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bangkok: Thailand merekodkan dua kes subvarian Omicron XBB pertama di negara itu, namun mereka yang dijangkiti disahkan pulih.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan (MSD), Dr Suakit Sirilak berkata, dua wanita yang mengalami simptom ringan itu dibenarkan keluar dari hospital selepas tamat kuarantin.

Katanya, pesakit pertama ialah seorang wanita Thailand berusia 49 tahun yang tiba dari Singapura dan dimasukkan ke hospital swasta selepas mengalami simptom Covid-19, pada 27 September lalu.

"Seorang lagi ialah warga asing berusia 60 tahun yang tiba dari Hong Kong dan dimasukkan ke hospital swasta di Bangkok selepas disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian kendiri pada 28 September lalu.

"Kedua-duanya sudah tamat kuarantin dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Tidak perlu panik kerana tiada kes teruk dikaitkan dengan subvarian XBB setakat ini," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, ujian makmal kemudian mengesahkan pesakit dijangkiti subvarian XBB.

Sementara itu, Dr Suakit berkata, Thailand turut mengesan dua kes pertama BF7 iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan profesional perubatan berusia 62 tahun.

"Pesakit tidak mengalami gejala teruk," katanya.

XBB ialah subvarian Omicron yang sangat mudah menular dan pertama kali dikesan di Singapura dan Amerika Syarikat pada Ogos lalu.

Subvarian XBB menjadi punca kebimbangan pihak berkuasa kesihatan di Thailand selepas tiga individu di negara itu disahkan positif di Hong Kong minggu lalu.

Pihak berkuasa kesihatan meningkatkan pemeriksaan di lapangan terbang terhadap penumpang yang mengalami gejala pernafasan dari Hong Kong dan Singapura.

Media melaporkan, subvarian XBB mencetuskan lonjakan ketara dalam kes Covid-19 di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 9:44 AM