CHINA masih bergelut dalam pengurusan Covid-19. FOTO REUTERS
CHINA masih bergelut dalam pengurusan Covid-19. FOTO REUTERS
minda

Negara paling awal 'masuk' namun, ia negara paling lewat 'keluar'.

Mungkin itu sesuai menggambarkan keadaan China yang menjadi negara terawal dikesan dengan kes Covid-19 yang ketika itu dikenali sebagai koronavirus baharu.

Disember ini genaplah tahun ketiga Covid-19 menghantui penduduk dunia. Di saat sebahagian besar negara di dunia sudah meneruskan hidup seperti biasa bersama Covid-19 sejak tahun lalu lagi, China dilihat masih paranoid dengan wabak itu dan melaksanakan dasar sifar-Covid yang dilihat membebankan rakyatnya.

Namun, baru-baru ini, selepas desakan demi desakan dan faktor ekonomi, barulah China mula cuba keluar dari pelbagai sekatan dan polisi berkaitan Covid-19.

Itupun selepas didesak rakyatnya hingga ada yang berani menuntut peletakan jawatan Presiden Xi Jinping.

Pada minggu pertama bulan ini, China mengumumkan pelonggaran sekatan Covid-19 yang ketat di seluruh negara selepas munculnya protes yang jarang berlaku terhadap Parti Komunis yang memerintah.

Protes memuncak apabila berlakunya kebakaran di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang di barat laut China pada November lalu.

Penunjuk perasaan berkata, sekatan pergerakan wajar dipersalahkan kerana menghalang usaha menyelamat dan mengaitkan kematian akibat kejadian itu dengan kawalan Covid-19 yang ketat.

Seorang penunjuk perasaan di Beijing berkata kepada AFP bahawa dasar sifar-Covid yang dilaksanakan terlalu ketat.

Katanya, ia (polisi ketat) membunuh lebih ramai orang berbanding Covid-19.

Di bawah garis panduan baharu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, kekerapan dan skop ujian PCR, yang merupakan tunjang utama kehidupan yang membosankan di China, kini akan dikurangkan.

Perintah berkurung yang menjadi punca utama kemarahan orang ramai juga akan dihadkan kepada skop sekecil mungkin dan pihak berkuasa dikehendaki membebaskan kawasan yang tidak menunjukkan kes positif selepas lima hari.

Individu yang mempunyai jangkitan Covid-19 tidak teruk boleh mengasingkan diri di rumah dan bukannya kemudahan kerajaan berpusat.

Orang ramai juga tidak lagi perlu menunjukkan kod kesihatan hijau pada telefon mereka untuk memasuki bangunan dan ruang awam kecuali untuk rumah jagaan, institusi perubatan, tadika, sekolah menengah dan tinggi.

Bagaimanapun, selepas sekatan dilonggarkan, China menyaksikan peningkatan jangkitan hingga memaksa kakitangan perubatan terus bekerja walaupun mereka sendiri dijangkiti Covid-19.

Reuters melaporkan, doktor dan jururawat semakin ramai dijangkiti namun mereka diminta untuk terus bekerja apabila semakin ramai pesakit yang mengalami gejala memenuhi hospital serta klinik.

Perkara itu didedahkan kakitangan perubatan selain dimuat naik di puluhan hantaran media sosial, namun pihak berkuasa kesihatan China enggan memberi sebarang maklum balas berhubung isu itu.

Pakar kesihatan memaklumkan, langkah China melonggarkan sekatan Covid-19 dijangka mengakibatkan peningkatan jumlah kes dalam beberapa bulan akan datang dan hospital di bandar besar sudah menunjukkan tanda ia berlaku.

Seorang doktor di hospital besar di wilayah Sichuan berkata, kira-kira 700 ke 800 orang dengan gejala demam mendapatkan rawatan setiap hari manakala bekalan ubat demam semakin berkurangan dan sedang menunggu penghantaran daripada pembekal.

Seorang jururawat sebuah hospital di Chengdu pula berkata, beliau merawat hampir 200 pesakit yang mempunyai gejala Covid-19 dalam satu malam.

Sebahagian hospital di Beijing merekodkan hampir 80 peratus kakitangan dijangkiti wabak berkenaan, namun mereka masih perlu meneruskan tugas berikutan kekurangan kakitangan, kata seorang doktor dari hospital besar di Beijing.

Katanya, semua pembedahan di hospital tempatnya bertugas dibatalkan kecuali jika pesakit 'meninggal dunia esok.'

Walaupun rakyat China 'terseksa' dengan polisi ketat berkenaan, ada pendapat mengatakan langkah berkenaan adalah polisi terbaik melindungi rakyat.

Bernama melaporkan, Pakar Geostrategi yang juga felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berpandangan bahawa dasar sifar Covid-19 yang diguna pakai kerajaan China adalah pendekatan terbaik dalam melindungi rakyat negara itu terutama golongan berisiko seperti warga emas.

Ini kerana negara berkenaan memiliki lebih 250 juta penduduk berusia lebih 60 tahun dan jika jangkitan berleluasa ia membawa risiko besar kepada golongan itu.

Katanya, jumlah populasi di China adalah tertinggi di dunia iaitu 1.4 bilion penduduk dan jika tiada langkah yang betul diambil maka jumlah kematian mampu mencapai sehingga sejuta orang.

Menurutnya, walaupun dasar ketat China ini tidak popular, ia berjaya mengawal jumlah kematian akibat Covid-19 kepada paras terendah sekitar 5,000 kematian sejak pandemik ini menyerang dunia.

Semoga tahun 2023 yang bakal menjengah tidak lama lagi menyaksikan kehidupan lebih baik bukan saja buat penduduk China yang baru saja 'bebas' daripada polisi ketat yang mencengkam hidup mereka, tetapi buat semua penduduk dunia yang mungkin ada antaranya masih merangkak untuk bangkit daripada kesusahan yang berpunca daripada penyakit nan satu ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 7:03 AM