MANGSA banjir berlindung dalam khemah yang didirikan Yayasan Al-Khidmat di daerah Hyderabad. FOTO EPA
MANGSA banjir berlindung dalam khemah yang didirikan Yayasan Al-Khidmat di daerah Hyderabad. FOTO EPA
AP

Islamabad: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan yang terselamat akan menghadapi krisis makanan serius dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Malah sebelum banjir lagi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 16 peratus penduduk hidup dalam keadaan kekurangan makanan yang sederhana atau teruk.

Bagaimanapun, kerajaan Pakistan menegaskan tiada kebimbangan mengenai bekalan makanan kerana stok gandum cukup untuk bertahan pada musim menuai seterusnya, selain yang diimport.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam laporan terbarunya berkata, banjir semasa dijangka memburukkan lagi krisis kekurangan makanan di Pakistan.

Katanya, kira-kira 5.7 juta orang di kawasan yang dilanda banjir akan menghadapi krisis makanan antara September dan November.

"Wabak penyakit bawaan air dan penyakit lain semakin meningkat di Sindh dan wilayah barat daya Baluchistan, yang mana banjir menyebabkan kerosakan paling banyak sejak pertengahan Jun.

"Beberapa negara dan agensi PBB menghantar lebih 131 penerbangan membawa bantuan untuk mangsa terselamat, tetapi ramai yang mengadu mereka sama ada menerima terlalu sedikit bantuan atau masih menunggunya.

"Ramai mangsa banjir terus hidup dalam keadaan tidak bersih di tempat perlindungan sementara, dengan akses perkhidmatan asas terhad sekali gus menambah risiko krisis kesihatan awam yang besar," kata laporan itu.

Menurut OCHA, wanita hamil sedang dirawat di kem sementara dan hampir 130,000 wanita hamil memerlukan perkhidmatan kesihatan segera.

"Sebelum banjir, Pakistan mempunyai salah satu kadar kematian ibu bersalin tertinggi di Asia dengan keadaan berkemungkinan merosot," katanya.

Agensi PBB dalam ciapan Twitter kelmarin berkata, pihaknya dan rakan kongsi lain meningkatkan respons banjir mereka dan menyampaikan bantuan kepada 1.6 juta orang yang terjejas secara langsung disebabkan banjir.

PBB akan mengeluarkan rayuan untuk mendapatkan tambahan AS$800 juta (RM3.7 bilion) daripada masyarakat antarabangsa sebagai tindak balas terhadap keperluan menyelamatkan nyawa mangsa banjir Pakistan yang semakin meningkat.

PBB berkata, minggu lalu bantuan makanan dihantar kepada keluarga terjejas, namun ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan rakyat.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan melaporkan, banjir yang disebabkan hujan monsun lebat luar biasa itu mengorbankan 1,695 orang, menjejaskan 33 juta, merosakkan lebih 2 juta rumah dan ratusan ribu orang kini tinggal di khemah atau tempat perlindungan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 3:04 PM