MANGSA banjir berlindung di sebuah kem sementara selepas rumahnya di Charsadda, Pakistan, dilanda banjir. FOTO AP
MANGSA banjir berlindung di sebuah kem sementara selepas rumahnya di Charsadda, Pakistan, dilanda banjir. FOTO AP
BERNAMA

Islamabad: Amerika Syarikat (AS) akan memberikan bantuan kemanusiaan bernilai AS$30 juta kepada Pakistan melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (Usaid) ketika negara-negara lain terus menjanjikan bantuan untuk berjuta-juta mangsa banjir di Pakistan.

"Sebagai respons kepada permintaan bantuan kerajaan Pakistan, Amerika Syarikat akan mengutamakan sokongan makanan yang diperlukan segera, air yang bersih, sanitasi, bantuan kewangan dan tempat perlindungan," menurut kenyataan Kedutaan AS di Islamabad pada Selasa.

Kerajaan Kanada sebelum ini mengumumkan pembiayaan AS$5 juta untuk menyokong respons antarabangsa terhadap bencana alam itu, manakala Azerbaijan menawarkan bantuan bernilai AS$2 juta dan Kesatuan Eropah (EU), AS$1.8 juta.

Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar menghantar penerbangan kargo yang membawa barangan yang sangat diperlukan seperti paket makanan, khemah dan kit kebersihan diri.

Iran menghantar beribu-ribu khemah, permaidani dan selimut melalui sempadan tenggara Chabahar, menurut media Iran.

Kira-kira 33 juta orang terjejas akibat banjir yang melanda wilayah Sindh, Balochistan, Khyber Pakhtunkhwa dan Punjab.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa melancarkan pelan kecemasan AS$160 juta untuk membantu Pakistan menangani krisis itu.

Bantuan itu menyasarkan kira-kira 5.2 juta orang yang paling mudah terjejas.

Setengah juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal berlindung di kem-kem perlindungan, hampir satu juta rumah mengalami kerosakan dan 700,000 ternakan hilang dalam banjir, menurut jurucakap pejabat penyelarasan kemanusiaan PBB Jens Laerke.

Beliau berkata, penyampaian bantuan terganggu apabila 3,500 kilometer jalan raya dan 150 jambatan mengalami kerosakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 2:43 PM