ROBOT menyusun minuman di dalam rak peti sejuk. FOTO Agensi
ROBOT menyusun minuman di dalam rak peti sejuk. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Family Mart, rangkaian kedai serbaneka kedua terbesar di Jepun, baru-baru ini mula menggunakan robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk menyimpan semula stok barangan di rak, sebagai satu cara untuk menangani tenaga kerja negara yang semakin mengecil.

Oddity Central melaporkan, penurunan populasi buruh adalah antara ancaman terbesar kepada perniagaan yang beroperasi di Jepun, dan ada yang sudah mula mencari jalan untuk menggantikan pekerja manusia.

Rangkaian Family Mart bekerjasama dengan syarikat robotik yang berpangkalan di Tokyo Telexistence untuk memperkenalkan robot berkuasa AI di ratusan kedainya di seluruh negara.

Sebagai contoh, 'pekerja' baharu itu akan bertanggungjawab mengisi semula tin dan botol minuman di dalam peti sejuk dan dijangka memudahkan pekerjaan dilakukan pekerja manusia, dalam beberapa kes menggantikannya sepenuhnya tugas pekerja dalam kalangan manusia.

Dipanggil TX SCARA, singkatan untuk Lengan Robot Pemasangan Pematuhan Terpilih, robot baharu Telexistence itu dikuasakan oleh platform AI Jetson Nvidia untuk memproses maklumat dan menggunakan infrastruktur awan Azure Microsoft untuk merekod dan merujuk data jualan bagi mengoptimumkan tugasnya.

Menurut Telexistence, robot TX SCARA boleh menggantikan satu hingga tiga jam tenaga buruh manusia setiap hari di setiap kedai serbaneka.

Tempoh masa sama boleh digunakan pekerja untuk perkara lebih penting seperti perkhidmatan pelanggan.

"Robot Telexistence akan menjadi pengaruh kuat dalam menyediakan bekalan buruh baharu yang hampir tidak habis-habis keperluannya.

"Sumber lebihan baharu akan diagihkan semula dengan sewajarnya melalui mekanisme pasaran, dan dalam jangka panjang, ini boleh membawa kepada peralihan masyarakat manusia untuk ditambah dengan ketara oleh buruh automatik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Telexistence, Jin Tomioka.

Robot TX SCARA sedang diperkenalkan di kira-kira 300 kedai Family Mart di seluruh Jepun, tetapi ini hanyalah permulaan.

Jika ia terbukti berguna seperti yang dijangkakan oleh Telexistence, terdapat rancangan untuk melancarkannya di 16,000 kedai syarikat Jepun itu.

Robot AI pekerja penyimpanan stok di rak boleh berfungsi tanpa 98 peratus bantuan manusia sepanjang masa di mana dua peratus lagi boleh dikawal dari jauh oleh manusia, menggunakan set kepala realiti maya apabila diperlukan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 2:31 PM