ROBOT berbentuk manusia ciptaan Kawasaki ini boleh melakukan pelbagai gerakan seperti manusia. FOTO AFP
ROBOT berbentuk manusia ciptaan Kawasaki ini boleh melakukan pelbagai gerakan seperti manusia. FOTO AFP
AFP

Lupakan robot berkilat yang mempunyai kemahiran seperti ahli gimnastik.

Pada Persidangan Robot Dunia di Tokyo baru-baru ini, fokus lebih pada robot lebih sederhana yang boleh menghantar surat, membeli-belah dan membina rumah.

CarriRo satu robot penghantar yang berbentuk seperti ‘Bas London’ dengan mata yang besar boleh menjelajah jalan di bandar dengan kelajuan enam kilometer sejam untuk menghantar barang.

“CarriRo itu direka untuk bergerak di kaki lima dan menggunakan GPS untuk pergi ke alamat dalam lingkungan dua kilometer radius,” kata Chio Ishikawa dari syarikat Sumitomo Corp yang mempromosikan robot itu.

Penerima pesanan akan menerima satu kod yang dihantar ke telefon bimbit bagi membolehkannya mengambil barangan seperti surat, ubat atau makanan di dalam bahagian simpanan CarriRo.

Perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan di Jepun apabila jumlah penduduk tua semakin meningkat.

Dengan hampir 28 peratus penduduknya berusia lebih 65 tahun, pergerakan semakin terhad dan Jepun bergelut dengan usia tenaga kerja yang sudah tua.

Robot Sokongan Manusia atau HSR yang dicipta gergasi kenderaan Toyota ini pula tidak cantik dipandang. Kelihatan seperti tong sampah yang mempunyai lengan tetapi ia penting untuk membantu orang tua atau golongan cacat di rumah.

HSR mampu mengendalikan dan memindahkan pelbagai objek dan ia juga menyediakan interaksi dengan dunia luar melalui skrin dengan sambungan internet di kepala.

SEORANG lelaki bermain pingpong dengan robot ciptaan Omron. FOTO AFP
SEORANG lelaki bermain pingpong dengan robot ciptaan Omron. FOTO AFP

Jepun berdepan kekurangan tenaga kerja terutama sekali di sektor peruncitan dan pembinaan, dan persidangan kali ini bertekad untuk menunjukkan penyelesaian terbaru mereka terhadap masalah itu.

Firma Omron mempamerkan robot yang boleh diprogram meluncur di pasar raya dan mengambil pelbagai barangan masuk ke dalam bakul.

Robot itu mungkin berguna kepada mereka yang malas atau tidak mampu bergerak jauh tetapi ia juga lebih efisien diletakkan di gudang logistik.

Majikan di Jepun juga berdepan kesukaran mencari pekerja untuk menyusun barangan di rak di hampir 55,000 kedai serbaneka yang dibuka 24 jam sehari. Mungkin robot ini mampu mengisi kekosongan berkenaan.

SEBUAH robot ciptaan Omron memilih barangan di atas rak. FOTO AFP
SEBUAH robot ciptaan Omron memilih barangan di atas rak. FOTO AFP

Projek pembinaan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di Tokyo yang bersedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 tetapi tapak pembinaan di seluruh bandar itu sering kekurangan tenaga kerja.

Mungkin robot berbentuk manusia dikenali sebagai HRP-5P boleh mengisi kekosongan itu. Setinggi 182 sentimeter dengan berat 101 kilogram, robot itu kelihatan seperti pekerja pembinaan yang tegap.

HRP-5P direka untuk menjalankan kerja pembinaan yang sama dilakukan manusia dan menggunakan pelbagai peralatan serta mesin.

“HRP-5P boleh menggunakan peralatan yang sama seperti manusia gunakan. Sebab itu kamu memberinya bentuk manusia, mempunyai dua kaki, dua tangan dan kepala,” kata seorang perekanya, Kenji Kaneko dari Teknologi dan Sains Industri Termaju Kebangsaan.

ROBOT HRP-5P direka untuk bekerja di tapak-tapak pembinaan. FOTO AFP
ROBOT HRP-5P direka untuk bekerja di tapak-tapak pembinaan. FOTO AFP

Beberapa firma robotik juga memperkenalkan robot bercakap terbaru yang menjadi semakin pintar bertindak balas.

Robohon sebuah robot comel setinggi 20 sentimeter yang direka oleh Sharp pula mula bekerja sejak bulan lalu untuk menyapa pelawat yang datang ke bandar Kyoto dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Cina.

Sebuah robot yang menyerupai bintang televisyen popular Jepun, Tetsuko Kuroyanagi antara rekaan paling popular dalam kalangan pengunjung ke persidangan itu kali ini.

Dicipta dengan kerjasama pakar robotik Jepun, Hiroshi Ishiguro robot itu meniru hampir sempurna mimik muka bintang berusia 85 tahun itu tetapi komunikasi dengan mesin itu tidak berapa lancar.

“Mencipta komunikasi yang lancar dengan orang berlainan adalah sukar. Jumlah kemungkinan jawapan untuk satu soalan terbaru adalah sangat besar dan ia sangat rumit.” kata Junji Tomita, jurutera gergasi telekomunikasi NTT yang turut terlibat dalam projek itu.

ROBOT motosikal yang boleh bergerak sendiri ciptaan Yamaha turut dipamerkan pada persidangan tahun ini. FOTO AFP
ROBOT motosikal yang boleh bergerak sendiri ciptaan Yamaha turut dipamerkan pada persidangan tahun ini. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:22 PM