PASANGAN warga emas meminta sedekah dari rumah ke rumah untuk menuntut mayat anak mereka di hospital. FOTO YouTube
PASANGAN warga emas meminta sedekah dari rumah ke rumah untuk menuntut mayat anak mereka di hospital. FOTO YouTube
Agensi

New Delhi: Sungguh memilukan apabila suami isteri di India terpaksa meminta sedekah untuk menuntut mayat anak lelaki mereka di sebuah hospital.

Video pasangan itu meminta wang daripada penduduk, tular dan menimbulkan kemarahan ramai.

Video itu dirakam di bandar Samastipur di utara Bihar menunjukkan lelaki dan wanita warga emas itu pergi dari rumah ke rumah, meminta ihsan bantuan orang ramai.

Mahesh Thakur dan isterinya memberitahu agensi berita ANI, anak lelaki mereka hilang beberapa hari lalu.

Dia menerima panggilan memaklumkan anak mereka meninggal dunia dan mayatnya berada di Hospital Sadar di bandar itu.

Pasangan itu berkata, mereka terpaksa mengemis selepas seorang kakitangan hospital meminta wang dalam nilai besar untuk menuntut mayat anak.

"Apabila saya ke hospital, seorang kakitangan memberitahu mereka akan membenarkan mayat itu dituntut hanya jika kami membayar 50,000 rupee (RM2,815.38) sebagai rasuah.

"Kami orang miskin, mana kami mampu membayar nilai ini?," katanya.

Pakar bedah awam hospital terbabit, SK Chaudhary berkata, pihaknya sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan terhadap kakitangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:00 AM