KM Sirimau.
KM Sirimau.
AFP

Jakarta: Anggota penyelamat Indonesia bertungkus lumus menyelamatkan sebuah feri pada Rabu selepas ia terkandas di perairan cetek di luar pantai dekat wilayah paling selatan negara itu, kata seorang pegawai tempatan.

Feri KM Sirimau yang dinaiki 784 penumpang dan 55 anak kapal terkandas selama dua hari di wilayah Nusa Tenggara Timur.

Memandangkan kapal itu tidak bocor, operasi menyelamat setakat ini ditumpukan untuk mengalihkan feri bagi membolehkan ia meneruskan perjalanannya daripada memindahkan semua penumpang dan anak kapal.

Bagaimanapun, ketua agensi mencari dan menyelamat bandar Maumere, Sudayana pada Rabu memberitahu Kompas TV, usaha 'membebaskan' kapal dengan menggunakan bot tunda itu setakat ini, gagal.

Katanya, pihak berkuasa sedang menunggu bot tunda yang dihantar oleh syarikat perkapalan milik kerajaan PT Pelni tiba pada Khamis, dan jika percubaan itu gagal, semua penumpang akan dipindahkan.

"Tunda hanya boleh dilakukan semasa air pasang. Jika operasi ini tidak berjaya maka kami akan memindahkan penumpang ke pelabuhan terdekat," katanya.

Katanya, semua penumpang berada dalam keadaan sihat.

Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia, sebuah kepulauan dengan lebih 17,000 pulau, di mana orang ramai bergantung pada feri dan bot lain untuk melakukan perjalanan walaupun piawaian keselamatan yang rendah.

Pada 2009, kira-kira 300 individu lemas apabila sebuah feri karam antara Sulawesi dan Borneo.

Sembilan tahun kemudian iaitu pada 2018, kira-kira 160 individu lemas apabila sebuah feri karam ke kedalaman salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 9:28 AM