ANTARA pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi pencarian mangsa. FOTO Basarnas/ AFP
ANTARA pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi pencarian mangsa. FOTO Basarnas/ AFP
AFP

Jakarta: Sekurang-kurangnya 15 orang maut, manakala 19 lagi hilang selepas sebuah bot kayu karam di luar pantai pulau Sulawesi, Indonesia, malam tadi.

Ketua agensi mencari dan menyelamat (SAR) bandar Kendari, Sulawesi Tenggara, Muhamad Arafah mengesahkan, bot itu karam bersama 40 orang di atasnya.

Katanya, punca tragedi itu masih dalam siasatan.

"Enam orang diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

"Satu pasukan SAR akan menyelam di sekitar lokasi kemalangan, manakala satu lagi pasukan akan mencari di permukaan air menggunakan bot," katanya.

Agensi itu turut berkongsi imej penyelamat yang bergerak dalam misi SAR.

Beberapa mayat yang ditutup dengan kain sarung turut kelihatan dibaringkan di hospital tempatan.

Jurucakap pejabat tempatan, Wahyudin berkata, bot itu sedang menyeberangi teluk antara kampung Lanto dan Lagili di Buton Tengah, Pulau Muna, Sulawesi Tenggara.

Katanya, kenderaan itu bot penumpang jenis kayu dan bukan feri seperti yang dilaporkan pada awalnya.

Beliau memberi amaran jumlah penumpang di atas kapal mungkin lebih tinggi daripada rekod asal serta enggan mengesahkan laporan media tempatan bahawa bot itu sesak.

Katanya, agensi itu akan memberikan maklumat terkini mengenai punca dan kehilangan penumpang.

Media Indonesia melaporkan, penduduk mengembara untuk perayaan tempatan dan berkumpul di atas bot yang sesak yang terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.

Kemalangan laut kerap berlaku di negara kepulauan Asia Tenggara yang memiliki kira-kira 17,000 pulau.

Orang ramai bergantung kepada feri dan bot kecil untuk mengembara walaupun mempunyai standard keselamatan yang rendah.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia, di Pulau Sumatera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:05 PM