GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Agensi

Dubai: Seorang wanita juga pembantu rumah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dihadapkan ke Mahkamah Dubai kerana didakwa menggunakan sihir bagi menundukkan majikannya.

Gulf News melaporkan, wanita itu disyaki melakukannya dengan niat mendapat layanan lebih baik daripada majikannya.

Pendakwa Raya, Fahad Abdulkareem dari Pendakwaan Bur Dubai dalam hujahnya memaklumkan mangsa mengesyaki tertuduh mengamalkan ilmu hitam kerana dia berasa letih dari segi mental dan fizikal serta menyedari beberapa kelakuan aneh pekerjanya itu.

"Mangsa memerhati gerak geri tertuduh ketika menjadi pembantu rumahnya untuk beberapa ketika dan pernah terdengar wanita itu menyebut perkataan dalam bahasa pelik ketika berada di dalam tandas.

"Bagi mendapat kepastian, mangsa memeriksa telefon bimbit tertuduh dan menemui gambar berkaitan sihir dan ilmu hitam selain mesej perbualan dengan seseorang di negara asalnya, memintanya mencipta mantera," katanya.

Selain itu, mangsa mendapati tertuduh menerima kiriman patung dihantar oleh seseorang .

"Mangsa terjumpa gambar anak patung dengan perkataan pelik.

"Apabila disoal, tertuduh menafikannya namun sehelai kain dengan kesan darah turut ditemui dalam simpanan wanita itu," katanya.

Tertuduh kemudian ditahan dan mengaku menggunakan sihir ke atas majikannya ketika disoal siasat.

Wanita itu memaklumkan menghubungi seorang saudara di negara asalnya untuk mendapatkan khidmat seorang lelaki arif dalam hal agama.

"Saudaranya meminta tertuduh membayar 200 dirham (kira-kira RM230) untuk mendapatkan mantera bagi mendapat layanan yang baik daripada majikannya.

"Dia juga menghantar gambar anak patung kepadanya di WhatsApp, mendakwa ia akan memberi kesan yang baik terhadap tingkah laku majikannya terhadapnya," katanya.

Mengenai kain berlumuran darah yang ditemui di dalam biliknya, tertuduh memberitahu ia adalah sebahagian daripada mantera untuk melindungi perkahwinannya.

"Tertuduh memberitahu yang dia mendapatkannya daripada saudaranya untuk melindungi perkahwinannya dan menghalang suaminya daripada berkahwin dengan wanita lain semasa ketiadaannya," katanya.

Berikutan kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sebulan, diikuti dengan pengusiran.

Menurut pendakwaan, hukuman untuk menggunakan sihir atau sihir adalah penjara atau denda 50,000 dirham (kira-kira RM57,458) dan pengusiran bagi warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 11:43 AM