Alor Setar: Cubaan seorang guru di sebuah tadika di Simpang Jaya, di sini, membuat laporan palsu berhubung kehilangan wang tunai RM12,000 milik majikannya gagal apabila perbuatannya itu dihidu polis yang mendapati wang itu sebenarnya digunakan wanita terbabit untuk menjelaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) miliknya.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, Khamis lalu, suspek berusia 23 tahun dikatakan membuat laporan polis mendakwa wang berkenaan disimpan di dalam kereta Perodua Kancil miliknya dicuri.

Difahamkan, menerusi laporan berkenaan, suspek mendakwa kejadian itu berlaku jam 9.30 malam, Selasa lalu, dan dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat, di sini, bagi mengelakkan perbuatannya dihidu majikannya.

Helahnya itu gagal selepas pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan menghidu sesuatu mencurigakan dengan keterangan diberikan suspek dan memanggilnya untuk disoal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:37 AM