GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Geneva: Pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang pergi ke Wuhan, China untuk menyiasat asal usul Covid-19 mengeluarkan laporan berkaitan penyiasatan yang dinanti-nantikan itu namun ketua pertubuhan berkenaan turut tidak mempercayai hasil siasatan itu.

Walaupun terdapat penemuan laporan mengenai kemungkinan penularan haiwan ke manusia, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan pasukan itu tidak menyelidiki makmal secara meluas dan berjanji menyelidik kemungkinan lain.

Berdasarkan kenyataan luar biasa yang dikeluarkan di laman rasmi WHO baru-baru ini, Tedros berkata, semua hipotesis masih diambil kira dan pihaknya belum menemui punca virus berkenaan.

"Pasukan penyiasat mengunjungi beberapa makmal di Wuhan dan mempertimbangkan kemungkinan virus itu masuk ke dalam populasi manusia akibat kejadian di makmal.

"Namun, saya tidak percaya penilaian ini cukup luas.

"Walaupun pasukan penyiasat menyimpulkan kebocoran makmal adalah hipotesis paling mungkin, ini memerlukan penyelidikan lebih lanjut, berpotensi dengan misi tambahan yang membabitkan pakar yang kami sediakan," katanya seperti dilaporkan NY Post.

Tedros berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama lebih baik dari China untuk siasatan kali kedua.

China dituduh melengah-lengahkan penyerahan maklumat untuk kajian atau menyembunyikan data.

"Dalam perbincangan saya dengan pasukan, mereka menyatakan kesulitan yang dihadapi dalam mengakses data.

"Saya harap kajian kolaboratif pada masa depan merangkumi perkongsian data lebih tepat dan komprehensif," katanya.

Dalam laporan akhir, yang ditulis bersama saintis China, pasukan pakar WHO meluangkan masa empat minggu pada Januari dan Februari lalu di dalam serta sekitar Wuhan yang juga lokasi pertama Covid-19 dikesan.

Mereka merumuskan virus itu mungkin menular daripada kelawar kepada manusia menerusi spesies binatang lain, di samping menolak kemungkinan berlaku kebocoran di makmal Institut Virologi Wuhan (WIV).

Namun, majoriti negara enggan menerima kesimpulan itu, malah mahu isu itu disiasat lebih lanjut dan terperinci dengan lebih banyak misi ke China.

Seorang penyiasat dalam pasukan WHO berkata, China enggan memberi data asal bagi kes awal Covid-19 kepada pasukannya, sekali gus merumitkan usaha memahami bagaimana pandemik global itu bermula.

"Ketidakupayaan misi WHO memuktamadkan di mana atau bagaimana virus ini merebak ke atas manusia bermakna persoalan bagaimana pandemik itu tercetus tidak terjawab.

"Kami tidak pasti sama ada China berikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha mengetahui puncanya, atau seperti didakwa Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara, mencegah mereka daripada mengetahuinya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:31 AM