AFP

Wuhan, China: Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat asal-usul Covid-19 bertemu dengan kakitangan hospital Wuhan yang menerima kes pertama pandemik itu, semalam.

Kumpulan pakar itu dibawa ke Hospital Jinyintan, hospital pertama yang menerima pesakit Covid-19 pada akhir 2019 ketika virus itu mula muncul di bandar itu.

Bagaimanapun, perincian berhubung lawatan ni masih berkurangan dan pihak media tidak dibenarkan mendekati mereka manakala maklumat perjalanan didapati menerusi ciapan pakar WHO dan bukannya pihak berkuasa China.

Ahli pasukan WHO, Peter Daszak menerusi Twittter menyambut baik lawatan itu sebagai peluang penting untuk bercakap secara langsung dengan pakar perubatan yang berada di lapangan pada masa kritikal pandemik.

WHO menegaskan siasatan akan berpegang teguh pada sains di sebalik bagaimana virus itu boleh dijangkiti daripada haiwan yang dipercayai kelawar kepada manusia.

Pasukan pakar dijangka mengunjungi pasar Huanan yang dipercayai menjadi kluster utama pertama serta Institut Virologi Wuhan dan makmal lain.

China dengan jumlah kematian dilaporkan rendah iaitu 4,636 orang, melaksanakan semula perintah berkurung di wilayah yang dikesan ada jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata semalam bahawa lawatan pakar WHO ini dianggap sebahagian daripada penyelidikan global berkaitan wabak berkenaan.

"Ini bukan penyiasatan," katanya kepada wartawan.

PETER Ben Embarek dan ahli pasukan WHO lain meninggalkan Hospital Jinyintan . FOTO AFP
PETER Ben Embarek dan ahli pasukan WHO lain meninggalkan Hospital Jinyintan . FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:31 PM