FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Maluku di Indonesia, bagaimanapun tiada laporan tsunami dikeluarkan.

Selain itu, tiada kematian atau kerosakan dilaporkan.

Agensi berita Xinhua, yang memetik kenyataan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, pada awalnya mengeluarkan maklumat mengenai gempa bumi bermagnitud 6.2, sebelum melakukan semakan semula.

Selain itu, agensi berkenaan tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami kerana gegaran yang berlaku tidak mencetuskan gelombang ombak yang besar.

Katanya, gempa itu berlaku pada jam 4.32 pagi tadi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak 86 kilometer (km) ke timur laut daerah Maluku Barat Daya pada kedalaman 131 km di bawah dasar laut.

Kekuatan gempa itu dirasai pada skala dua hingga tiga MMI (Modified Mercalli Intensity) di Saumlaki, sebuah bandar di daerah Pulau Tanimbar dan daerah Maluku Barat Daya.

Gempa itu disebabkan subduksi di Laut Banda, berpunca daripada pergerakan batuan di sepanjang garis sesar, kata Ketua Jabatan Gempa dan Tsunami agensi itu, Bambang Setiyo Prayitno, dalam satu kenyataan.

Pegawai kanan Agensi Pengurusan dan Mitigasi Bencana di kedua-dua daerah, yang juga kawasan paling teruk dilanda bencana, berkata gegaran itu tidak dirasai penduduk di wilayah berkenaan.

"Gegaran tidak dirasai di sini, jadi ia tidak menyebabkan panik atau kerosakan," kata Ketua Unit Operasi Agensi Pengurusan Bencana dan Mitigasi daerah Pulau Tanimbar, Doni B Layan, ketika dihubungi Xinhua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 7:41 PM