GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Jakarta: Indonesia menyaksikan siri kejadian gempa bumi pada Rabu dengan yang terbaharu bermagnitud 7.1 menggegarkan wilayah Sulawesi Utara di tengah Indonesia, lapor Xinhua memetik agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik negara itu.

Gempa bumi itu melanda pada 1:06 tengah hari waktu tempatan (06:06 GMT) dengan pusat gempa terletak 141 km ke tenggara daerah kecil Melonguane di daerah pulau Talaud dengan kedalaman 64 km di bawah dasar laut, kata agensi itu.

Gegaran gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, katanya.

Pada pukul 7.34 pagi tadi, Xinhua juga melaporkan gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan wilayah Gorontalo, Indonesia.

"Tiada laporan mengenai bangunan dan rumah musnah, atau penduduk cedera akibat gempa itu," kata jurucakap agensi pengurusan dan mitigasi bencana negara, Abdul Muhari akan gempa pada awal pagi itu.

Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter juga dilaporkan melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi di Indonesia pada 8.34 pagi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini berkata, ia mengesan gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Utara Laut Maluku, Indonesia pada 4.01 petang tadi.

Katanya gempa itu berlaku pada jarak 156 kilometer (km) tenggara dari Pulau Talaud, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

Menurut MetMalaysia, penilaian awal mendapati tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 5:40 PM