LOGO Bitcoin tertera di luar kafe yang menjadi pilihan pedagang kripto di Nakhon Ratchasima, Thailand. FOTO Reuters.
LOGO Bitcoin tertera di luar kafe yang menjadi pilihan pedagang kripto di Nakhon Ratchasima, Thailand. FOTO Reuters.
Reuters

Bangkok: Kafe di timur laut Thailand bukan sekadar menyediakan kopi dan kek bahkan, menjadi 'rumah' buat pedagang mata wang kripto, dengan tambahan skrin yang menunjukkan pergerakan pasaran terkini dan khidmat nasihat pelaburan.

Di sebalik luaran yang kelihatan tenang dengan pohon sakura, pelanggan HIP Coffee & Restaurant terletak di bandar Nakhon Ratchasima tidak lekang dengan komputer riba dan memantau turun naik dagangan aset digital sambil menikmati kopi.

"Saya teruja berada di sini kerana dapat berjumpa dengan orang yang berkongsi minat dengan saya," kata pedagang kripto, Detnarong Satianphut, 35.

Menurutnya, mereka dapat bertukar maklumat kerana dunia perdagangan itu yang bersaing dengan jutaan orang.

PELANGGAN kafe memeriksa turun naik dagangan di puluhan skrin yang berada dalam kafe selain komputer riba. FOTO Reuters.
PELANGGAN kafe memeriksa turun naik dagangan di puluhan skrin yang berada dalam kafe selain komputer riba. FOTO Reuters.

Mata wang kripto meraih momentum di Thailand dengan sejumlah 251 bilion baht (RM31.44 bilion) aset digital didagangkan pada November, menurut data rasmi terkini.

Awal Januari lalu, Thailand dilapor akan mula mengawal selia penggunaan aset digital sebagai bentuk pembayaran, sekali gus memberi amaran terhadap risiko yang berpotensi kepada kestabilan kewangan dan sistem ekonomi keseluruhan.

Kafe HIP dibuka sejak 2013, namun ditambah baik dengan pengenalan kripto pada 2020 yang menyaksikan pelanggannya berganda.

Pengurusnya, Oakkharawat Yongsakuljinda berkata, kafe itu menyediakan peluang pelaburan alternatif kepada penduduk di sekitar wilayah Nakhon Ratchasima, dengan tawaran nasihat pelaburan selain turut merancang memperkenalkan syiling kripto sendiri.

Pelanggan kafe itu pula mengakui mengurus dagangan di situ memberikan mereka peluang lebih baik untuk berjaya dalam pasaran yang tidak menentu.

"Skrin yang banyak sangat membantu. Kami dengan mudahnya tahu dan dapat analisis faktor penurunan dan sama ada kita patut membeli," kata Apakon Putnok, 23.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 11:14 AM