GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Phnom Penh: Puluhan orang dilaporkan mati di Kemboja sejak beberapa bulan lalu disebabkan minum alkohol buatan sendiri.

Langkah penduduk di Kampung Thnong di wilayah Kampot meneguk minuman keras ketika satu upacara pengebumian bertukar tragedi.

Prom Vannak, 50, mula meminum minuman keras selepas mengalami kemalangan motosikal dan tidak dapat bekerja.

Ketika bapa saudaranya meninggal dunia Mei lalu, dia mengambil wain pada sebelah pagi dan tertidur awal pada sebelah petang.

Sebaik sedar, dia memberitahu isterinya dia berasa tidak sedap badan.

Selepas dua hari dia mula mengalami simptom teruk, badannya menggeletar dan muntah serta meninggal dunia sehari kemudian.

Vannak adalah salah seorang daripada lapan orang yang mati selepas minum pada majlis pengebumian itu manakala 50 yang lain dirawat di hospital.

Hun Vy yang kehilangan dua saudara dikejarkan ke hospital selepas minum minuman beracun.

"Selepas saya minum, saya merasa pening, mula muntah, tangan dan kaki menjadi lemah," katanya.

Seramai 13 orang mati di wilayah Pursat pada awal bulan Jun dan sekurang-kurangnya 12 orang kehilangan nyawa di Kandal pada 10 Mei.

Polis menyoal siasat wanita, Kolap yang menjual wain beras di kampung selama beberapa dekad di mana penduduk tempatan mendapatkan bekalan.

Dia dan beberapa penduduk yang lain percaya bahawa mangsa yang meninggal dunia menjadi hantu yang mengganggunya.

"Saya takut dengan mereka yang mati pada hari itu. Mereka buat bising dan saya tak dapat tidur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:31 AM