LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PELAJAR Tingkatan Dua yang tidak sedarkan diri selepas minum minuman keras semalam mendakwa dirinya dipaksa untuk mengambil minuman itu oleh rakannya.

Pengakuan pelajar itu dibuat menerusi rakaman video dan tular di beberapa media sosial sejak tengah malam tadi.

Video berdurasi satu minit dan 26 saat itu menunjukkan pelajar berkenaan terbaring di atas katil di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Pelajar sekolah di Air Putih itu mendakwa rakannya membeli minuman keras murah berkenaan dengan sebotol air bikarbonat.

“Mereka mencampur minuman birkarbonat dengan minuman keras sebelum memaksa saya meminumnya, namun saya tidak mahu, mereka memujuk dan mengatakan ia hanya air bikarbonat sahaja.

“Saya hanya minum dua teguk sahaja sebelum berasa pening dan menjadi separuh sedar, ketika itu saya dapat mendengar orang bercakap di sekeliling saya. Selepas itu saya tidak sedar,” katanya.

Katanya, dia kesal kerana ada sesetengah orang menyebarkan berita palsu mengenainya termasuk mengatakan dia sudah meninggal dunia.

“Saya tahu sepatutnya saya masuk ke kelas bukannya mengikut rakan, namun saya mengambil minuman keras itu bukan atas kerelaan sendiri, malah itu adalah kali pertama saya merasa minuman itu.

“Keluarga saya juga agak terkesan dengan penyebaran berita yang tidak benar itu,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang pelajar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang ramai akibat terlalu mabuk kerana mengambil minuman keras.

Berita berkaitan

Pelajar mabuk, tidak sedarkan diri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 2:21 PM