FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Makkah: Bermula semalam, pemohon yang layak menunaikan haji tahun ini mula menerima pesanan teks sebagai langkah pertama untuk kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan fasa seterusnya.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdulfattah Sulaiman Mashat berkata, fasa seterusnya ialah membahagikan senarai pemohon yang layak itu kepada beberapa kategori.

"Kategori pertama adalah mereka yang memenuhi syarat menunaikan haji dan menerima pesanan teks untuk mengakses portal elektronik kementerian bagi menyelesaikan proses pendaftaran.

"Pesanan teks itu dianggap sebagai persetujuan akhir hanya selepas memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya seperti dilaporkan Arab News.

Menurutnya, kementerian juga mempermudahkan langkah pendaftaran untuk mengeluarkan permit haji.

"Ini termasuk log masuk ke portal elektronik, mengesahkan data pemohon dan memilih pakej yang tersedia," katanya.

Disebabkan penularan Covid-19 masih belum reda, Arab Saudi hanya menetapkan kuota 60,000 jemaah haji, terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing yang menetap di negara ini.

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai ibadah haji tahun ini masih bergantung kepada ancaman semasa pandemik Covid-19.

Tahun ini adalah kali kedua Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk dan warga asing yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:00 AM