GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Cox's Bazar, Bangladesh: Kebakaran kedua yang berlaku hari ini di kem pelarian Rohingya di sini dalam tempoh kurang dua minggu mengorbankan tiga mangsa.

Kebakaran bermula di sebuah pasar di kem Kutupalong, yang menempatkan lebih 600,000 pelarian Rohingya, pada awal pagi dan merebak ke tujuh kedai berhampiran.

Tiga pemuda berusia antara 13 dan 22 tahun yang tertidur di salah satu kedai terbunuh, kata polis dan pegawai bomba.

Pada 22 Mac, kebakaran dahsyat membunuh 15 orang Rohingya dan menyebabkan hampir 50,000 kehilangan tempat tinggal.

Ketua bomba tempatan, Imdadul Hoque berkata, kebakaran terbaru akan menjadi bencana sekiranya ia tidak dapat dikawal dengan cepat kerana pasar berkenaan terletak berhampiran pondok yang didiami penghuni kem dan ia diperbuat daripada buluh dan mudah terbakar.

Hoque berkata, lima orang sedang tidur di sebuah kedai pakaian ketika api marak.

"Dua melarikan diri tetapi tiga yang lain terperangkap di bilik mandi di kedai it," katanya.

Polis mengatakan mereka percaya litar pintas menyebabkan kebakaran.

Mereka masih menyiasat punca kebakaran 22 Mac lalu yang menghancurkan 10,000 pondok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:33 PM