FATIMAH pada sidang media di Petra Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
FATIMAH pada sidang media di Petra Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
Melvin Joni

PUSAT Kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang menyediakan kemudahan khusus untuk kanak-kanak kurang upaya akan diwujudkan di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan pusat sehenti itu diluluskan dalam mesyuarat kabinet negeri, semalam.

Beliau berkata, penubuhan pusat berkenaan adalah di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas, yang memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan bangunan.

“Kami sudah berbincang mengenai perkhidmatan yang akan disediakan dan berharap bangunan dapat dibina dalam tahun ini,” katanya di Kuching, semalam.

Antara perkhidmatan yang akan disediakan adalah diagnostik melalui klinik yang akan dibuka di dalam pusat berkenaan.

Fatimah berkata, perkhidmatan itu amat penting untuk mengesahkan jenis kurang upaya seseorang kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, mental, autisme atau sindrom down.

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan intervensi awal juga akan disediakan khususnya untuk kanak-kanak autistik.

“Menerusi perkhidmatan intervensi itu, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban ibu bapa untuk membiayai kos intervensi anak mereka yang mengalami autistik.

“Ketika ini ada ibu bapa di Sarawak yang sanggup pergi atau berpindah ke Kuala Lumpur demi mendapatkan intervensi untuk anak autistik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 2:15 PM