Abdul Halim Hussain (kanan) memakaikan kasut sekolah kepada Rahimi Haikal, enam tahun (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Kompleks Bukit Jambul (KBJ) KH Chan (tiga dari kanan) ketika Program Kembali Ke Sekolah 2021, di Bukit Jambul. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Suri rumah menyifatkan bantuan persekolahan yang diterima dua daripada lima anaknya sebagai rahmat yang dapat meringankan beban ditanggung.

Rahimah Saad, 43, dari Kampung Perlis berkata, pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir memberi kesan ketara buat keluarganya apatah lagi suaminya, Mohd Hamidun Md Saman, 48, hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

"Saya ada lima anak masih bersekolah dan dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya dapatlah kami menyimpan wang selain mengurangkan perbelanjaan lain," katanya yang mempunyai 12 anak termasuk anak bongsu Sindrom Down.

Terdahulu, anak Rahimah antara 170 kanak-kanak yang terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan sumbangan Kompleks Bukit Jambul (KBJ) yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama KBJ, KH Chan berkata, penerima daripada keluarga B40 memperoleh bantuan beg sekolah, kasut, alat tulis dan baucer RM60.

Katanya, penerima itu dipilih daripada kalangan penduduk sekitar Barat Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 11:21 PM