Agensi

Krabi : Seorang lelaki ditangkap polis selepas disyaki menyiksa kucing jalanan dengan mengurungnya di dalam peti ais bilik hotel tempatnya menginap.

Bangkok Post melaporkan, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas salah seorang kakitangan hotel menemui haiwan itu dalam keadaan masih bernyawa di dalam peti ais.

Ketika itu, dia melakukan kerja mengemas dan membersihkan bilik.

Selain kucing berkenaan, kakitangan terbabit turut menemui tompokan darah dan cebisan bulu kucing di dalam peti ais berkenaan.

Tanpa berlengah, kakitangan berkenaan melaporkan perkara itu kepada pertubuhan kebajikan haiwan, Wathdog Thailand.

Pertubuhan itu membuat aduan kepada polis yang kemudiannya menangkap suspek, Shi Hang, 30 di sebuah hotel di Pulau Phi Phi yang terletak di daerah Muang .

Sejurus ditangkap, polis menjalankan siasatan dengan memeriksa telefon bimbit suspek.

Beberapa gambar dan klip video ditemui menunjukkan suspek melakukan kekerasan terhadap haiwan berkenaan.

Namun, suspek berkeras menyatakan dia adalah pencinta kucing.

Tidak dapat dipastikan sejak bila haiwan itu dikurung di dalam peti ais berkenaan

Berdasarkan maklumat diperoleh, suspek sudah menginap di tiga hotel sejak tiba di itu pulau berkenaan pada 5 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 11:20 AM