PELAJAR dan kakitangan POLISAS melakukan pelbagai aktiviti pada program tanggungjawab sosial korporat di Kucing Valley Hajah Maimunah.
PELAJAR dan kakitangan POLISAS melakukan pelbagai aktiviti pada program tanggungjawab sosial korporat di Kucing Valley Hajah Maimunah.
Mohd Rafi Mamat


‘Kucing Valley Hajah Maimunah’ di FELDA Chini 4, Pekan, menjadi pusat jagaan kucing pertama di Pahang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk haiwan berkenaan yang terletak dalam satu kawasan khas.

Sebuah rumah khas memberi keselesaan kepada lebih 50 kucing dengan disediakan makanan setiap hari yang diuruskan lima sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat.

Setiap hari haiwan berkenaan dipantau bagi menjamin tahap kesihatan, kebersihan dan keselesaan pada tahap memuaskan. Pusat berkenaan diwujud dan dikendalikan Maslina Omar, seorang peminat kucing.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang Datuk Abu Bakar Harun berkata, ‘Kucing Valley Hajah Maimunah’ mampu menjadi produk pelancongan terbaru di daerah itu yang boleh menarik kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Katanya, kehadiran pusat berkenaan mampu menarik perhatian peminat kucing ke FELDA itu semata-mata untuk melihat pelbagai jenis kucing baka tempatan dan import yang tinggal dalam satu kawasan.

Menurutnya, kini ada lebih 50 kucing di Kucing Valley Hajah Maimunah yang dibiarkan bebas dalam kawasan berpagar.

“Pusat jagaan kucing ini diharap menjadi pakej kepada lokasi pelancongan di FELDA Chini yang sebelum ini terkenal dengan Tasik Chini, muzium kasut dan ladang ternakan kelulut.

“Saya yakin Kucing Valley Hajah Maimunah akan terkenal satu hari nanti jika aktiviti promosi dapat dilakukan secara berterusan oleh semua pihak termasuk masyarakat setempat.

“Saya tertarik melihat kucing dikumpul dalam satu kawasan yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan keunikan pusat ini mampu menarik perhatian pelancong,” katanya pada majlis perasmian pusat penjagaan kucing itu, baru-baru ini.

Program itu turut disertai 150 penuntut Jabatan Kejuruteraan Awam dan kakitangan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang membina pelbagai kemudahan termasuk mengecat, menyediakan barangan permainan kucing dan menghias pusat jagaan haiwan berkenaan.

Abu Bakar berkata, difahamkan mereka yang tidak lagi berminat membela kucing di rumah boleh menyerahkan haiwan berkenaan kepada Kucing Valley Hajah Maimunah, selain pusat terbabit juga menjadi tempat simpanan sementara kucing.

Pengarah POLISAS Norlida Abd Razak berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di pusat kucing itu adalah kali pertama dianjurkan politeknik berkenaan.

“Sebelum ini, program CSR POLISAS lebih kepada aktiviti seperti membantu membina kemudahan untuk golongan miskin, mangsa banjir dan menghias dinding sekolah di daerah ini.

“Kepakaran pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam dan kakitangan POLISAS disalurkan kepada pihak memerlukan bukan saja kepada manusia tetapi juga haiwan yang turut memerlukan pembelaan,” katanya.

Menurutnya, POLISAS akan terus memantau Kucing Valley Hajah Maimunah dan aktiviti membaiki kerosakan peralatan serta kemudahan bagi memastikan keselesaan haiwan di situ.

Bagi Norazura Mohd Ali, berada di Kucing Valley Hajah Maimunah memberi ketenangan kepadanya apabila dapat membelai sambil bermain dengan pelbagai jenis kucing comel serta manja milik pemilik pusat berkenaan.

“Saya harap pusat berkenaan mampu menjadi produk pelancongan terbaru di FELDA Chini 4. Peminat kucing pasti datang ke situ untuk melihat lebih dekat haiwan kesayangan yang mudah mesra dengan manusia.

“Sokongan masyarakat setempat dan syarikat swasta yang menghulurkan sumbangan akan melancarkan operasi pusat berkenaan kerana kos menyediakan makanan dikatakan mencecah RM100 sehari,” katanya yang bertugas di POLISAS.

Katanya, pengusaha Kucing Valley Hajah Maimunah turut mempelawa sukarelawan melakukan kerja seperti membersihkan kawasan, merawat dan memandikan kucing manakala haiwan yang sakit akan dihantar ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 5:41 AM