Kapten kapal The Equanimity, Oystein Senneseth berjalan berlatar belakangkan kapal mewah terbabit di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang. FOTO Sairien Nafis
Kapten kapal The Equanimity, Oystein Senneseth berjalan berlatar belakangkan kapal mewah terbabit di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang. FOTO Sairien Nafis
Iskandar Shah Mohamed; Dawn Chan; Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Seri Nor Nadiah Koris


TEMPOH enam hingga sembilan bulan diperlukan mahkamah bagi mengenal pasti hak pemilikan sebenar kapal mewah ‘The Equanimity’ yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam 1MDB Jeremy Joseph berkata, pihaknya setakat ini menumpukan kepada deklarasi pemilikan kapal itu.

“Kita menjangkakan proses siasatan itu akan memakan masa antara enam hingga sembilan bulan, namun yakin ia dapat segera diselesaikan.

“Deklarasi pemilikan itu penting kerana firma guaman yang dilantik Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab dalam urusan jualan atau lelongan kapal berkenaan.

“Kos penyelenggaraan kapal itu dianggarkan berjumlah RM3 juta sebulan. Ketika ini, ia akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, petang tadi.

Terdahulu, kapal mewah itu selamat berlabuh di jeti berkenaan jam 1 tengah hari tadi, selepas berlayar hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

Tinjauan NSTP mendapati Kapal Diraja (KD) Jebat dan tiga kapal milik Pasukan Polis Marin (PPM) turut mengiringi kapal terbabit.

Turut kelihatan sepasukan pegawai dan anggota daripada pasukan khas Jabatan Peguam Negara menaiki kapal itu bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, sejurus selesai, satu mesyuarat khas diadakan yang turut membabitkan penjualan kapal berharga RM1 bilion milik ahli perniagaan Low Teak Jho atau Jho Low itu.

Kawasan jeti itu dikawal ketat kira-kira 50 pegawai dan anggota PPM Selangor.

Kapal mewah itu dipercayai akan diletakkan sementara di jeti berkenaan sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Difahamkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan meninjau kapal berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, kata Joseph yang juga antara enam peguam kes itu, notis waran terhadap kapal berkenaan sudah ditampal pihaknya bagi siasatan lanjut.

“Pasukan petugas yang menjalankan pemeriksaan perlu memakai sarung kasut bagi mengelak sebarang kesan terhadap keadaan asal kapal itu,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Dr Mahathir, ketika kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Semalam, Dr Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun Facebook miliknya berterima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal mewah berkenaan.

Sabtu lalu, agensi berita Reuters melaporkan satu keputusan sudah dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia bagi membolehkan kapal itu diserahkan kepada Malaysia susulan permintaan yang dibuat oleh Dr Mahathir.

Pada Februari lalu, kapal itu dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan 1MDB.

Mahkamah Indonesia bagaimanapun memutuskan tindakan menyita adalah salah dan harus diserahkan pada Jho Low, namun ia sekali lagi disita atas permintaan rasmi Amerika Syarikat, awal Julai lalu.

Kementerian Kewangan merancang untuk menjual kapal itu dengan harga tertinggi supaya Malaysia beroleh kembali kira-kira US$250 juta (RM1 bilion).

1MDB adalah tumpuan kepada siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Sejumlah kira-kira AS$4.5 bilion (RM18 bilion) didakwa diselewengkan oleh pegawai kanan tinggi dana berkenaan, demikian menurut saman sivil DoJ.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah berulang kali menafikan salah laku. Jho Low pula dilihat sebagai individu utama dalam kes itu.

Berdasarkan saman sivil itu, Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari 1MDB untuk memperoleh Equanimity, kapal sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Cayman Islands.

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa dan sauna, kolam renang 20 meter di dek, panggung wayang, lif dan pendaratan helikopter.

Lokasi Jho Low sehingga sekarang tidak dapat dikenal pasti dan pihak berkuasa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 6:29 PM