JEWELL Langford. FOTO Agensi
JEWELL Langford. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Tidak mahu selama-lamanya dihantui dosa silam menyebabkan seorang pesara warga emas berusia 81 tahun tampil mengaku kepada pihak berkuasa bahawa dia membunuh kekasihnya, 48 tahun lalu.

Portal NDTV melaporkan, Rodney Mervyn Nichols yang tinggal di Florida mengaku dia membunuh teman wanitanya, Jewell Langford pada 1975, selepas kedua-duanya bergaduh.

Menurut Pejabat Peguam Amerika Syarikat (AS), lelaki warga emas yang sudah ditahan itu memberitahu polis bahawa dia berasa amat sedih dengan apa yang dilakukannya itu, dan mahu "membersihkan dirinya".

Nichols juga mendedahkan kepada pihak berkuasa bahawa selepas membunuh, dia kemudian membuang mayat Langford di sungai.

Lelaki itu ditangkap oleh pihak berkuasa di Rumah Pesara North-Lake di Hollywood, Florida, pada 25 Julai, atas tuduhan yang difailkan oleh Polis Wilayah Ontario.

Susulan rundingan telefon dengan peguam dari biro bantuan guaman di Kanada, Nichols kemudian menyatakan bahawa pada masa kejadian, dia bertengkar dengan Langford, lalu membunuh wanita itu.

Berdasarkan rekod mahkamah, lelaki itu mendakwa kejadian berlaku di rumahnya di Montreal, dan dia kemudiannya membuang mayat mangsa di Sungai Nation.

Penyiasatan jenayah itu bermula pada 3 Mei 1975, apabila pihak berkuasa menemui mayat terapung dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher di Sungai Nation di timur Ontario.

Laporan bedah siasat ketika itu mendapati mangsa meninggal dunia akibat dicekik di bahagian leher.

Penyiasat tidak dapat mengenal pasti wanita itu sehingga 2021.

Pihak berkuasa Kanada menggali mayat mangsa pada 2018, membenarkan Pusat Sains Forensik (CFS) untuk mewujudkan profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun, sepanjang 47 tahun, semua kaedah dan teknologi digunakan gagal mengenal pasti mangsa dan suspek.

Nichols, yang sebelum ini disoal siasat pada 1975, tidak dianggap sebagai suspek dalam kehilangan kekasihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 11:59 AM