Sharron Prior (kiri) dan Franklin Maywood Romine. FOTO Agensi
Sharron Prior (kiri) dan Franklin Maywood Romine. FOTO Agensi
Agensi

Ottawa: Polis Kanada melakar sejarah apabila berjaya menyelesaikan kes lampau berprofil tinggi membabitkan rogol dan pembunuhan remaja perempuan yang berlaku 48 tahun lalu.

Polis Longueuil, Quebec berkata, kes itu membabitkan kejadian rogol dan bunuh remaja perempuan berusia 16 tahun pada 1975, dengan pelakunya seorang lelaki Virginia Barat yang meninggal dunia lebih 40 tahun lalu.

Katanya, bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membolehkan mereka mengenal pasti Franklin Maywood Romine membunuh remaja itu, Sharron Prior, di pinggir bandar Montreal.

Kubur Romine di tanah perkuburan di Virginia Barat digali semula pada awal Mei lalu untuk ujian DNA bagi mengesahkan kaitannya dengan jenayah itu.

Romine dilahirkan di bandar Huntington terbesar kedua di Virginia Barat pada 1946 sebelum meninggal dunia di Verdun, Montreal, dalam keadaan misteri pada 1982 ketika usianya mencecah 36 tahun.

Menurut polis, DNA Romine yang mempunyai sejarah jenayah yang panjang dan sepadan dengan sampel yang ditemukan di tempat kejadian.

Ia juga sepadan dengan keterangan saksi berhubung fizikal suspek.

Kes rogol dan pembunuhan Prior tidak dapat diselesaikan sejak dia hilang pada 29 Mac 1975.

Mayatnya ditemukan tiga hari kemudian di kawasan hutan di Longueuil, di South Shore Montreal.

Penguatkuasaan undang-undang menyiasat lebih 100 suspek selama bertahun-tahun, tetapi tidak pernah membuat sebarang tangkapan.

Yvonne Prior, ibu remaja itu, kini berusia 80-an, masih tinggal di Kanada dan menghabiskan sisa hidupnya mencari pembunuh anak perempuannya.

Menurut WCHS-TV Charleston, Virginia Barat, nama Romine tidak muncul dalam siasatan sehingga tahun lalu.

Ketika polis Longueuil mula meneliti rekod jenayah, mereka mendapati sejarah keganasan yang meluas dan percubaan Romine untuk mengelak penguatkuasaan undang-undang dengan berpindah antara Virginia Barat dan Kanada.

Hanya beberapa bulan selepas pembunuhan Prior pada tahun 1975, Romine ditangkap pegawai sempadan Kanada dan diekstradisi kembali ke Virginia Barat.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima hingga 10 tahun kerana serangan seksual dalam kes satu ks lain.

Selepas dibebaskan, dia meninggal dunia di Kanada pada 1982.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:19 AM