NYALI tampil mengaku membunuh Hilda sebelum polis menjejaki Muhammad Qhairul. FOTO tribunjakarta.com
NYALI tampil mengaku membunuh Hilda sebelum polis menjejaki Muhammad Qhairul. FOTO tribunjakarta.com
Agensi

Jakarta: Bagaikan sinetron Indonesia, seorang lelaki yang membantu rakan menyembunyikan wanita yang dibunuh terpaksa hidup dalam ketakutan selepas diganggu oleh 'roh mangsa.'

Wanita yang mengandung sembilan bulan itu dibunuh dengan kejam di sebuah taman berhampiran sebuah plaza tol pada 7 April tahun lalu.

Suspek, Nyali Hendra Supriyatna, 38, bertindak membunuh, Hilda Hidayah, 22, berikutan wanita itu mahu dia bertanggungjawab terhadap kehamilan itu.

Ia menyebabkan Nyali naik berang sebelum membunuh Hilda.

Dia kemudian dibantu oleh rakannya, Muhammad Qhairul Fauz, 20, dalam menyembunyikan mayat mangsa.

Tribunnews melaporkan suspek berjaya menyembunyikan perbuatan itu selama setahun.

Namun, selama itu juga, Muhammad Qhairul mendakwa pernah dihantui 'roh mangsa.'

Sebelum ini, misteri penemuan mayat wanita berkenaan menimbulkan tanda tanya berikutan pihak berkuasa tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Ia berikutan ketika ditemui separuh daripada mayat ditanam di dalam tanah dan mula mereput.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Bagaimanapun selepas setahun, Nyali tampil mengaku membunuh Hilda sebelum polis menjejaki Muhammad Qhairul.

Hasil soal siasat lanjut, Nyali yang juga seorang pemandu bas mengaku Hilda mengandung sembilan bulan hasil hubungan terlarang mereka.

Dengan pengakuan itu, misteri pembunuhan wanita hamil setahun lalu dianggap selesai.

Nyali memberitahu, pada mulanya tidak mempunyai niat untuk membunuh kekasihnya.

"Tapi dia minta menikahi secara sah, saya tidak setuju dan sekarang saya menyesal," katanya.

Sementara itu, Muhammad Qhairul pula berkata, dia pernah dihantui roh mangsa.

"Saya dihantui roh arwah mangsa, saya minta maaf kepada mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:55 AM