DENISE (kiri) dan Winchester dalang utama pembunuhan Mike. FOTO Daily Mail
DENISE (kiri) dan Winchester dalang utama pembunuhan Mike. FOTO Daily Mail
Agensi

FLORIDA: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah merancang pembunuhan suami bersama kekasihnya bagi mengaut tuntutan insurans mangsa berjumlah AS$1.75 juta (RM7.13 juta).

Kekasihnya itu ialah rakan baik suaminya dan mereka berkahwin selepas kematian mangsa.

Wanita itu, Denise Williams, 49, dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di Talahassee, Florida, kelmarin, kerana menjadi perancang utama membunuh Mike Williams pada Disember 2000.

Menurut laporan Daily Mail, kekasihnya, Brian Winchester, yang membunuh suaminya, diberi kekebalan daripada hukuman oleh pihak pendakwa kerana bersedia menjadi saksi bagi mengaitkan Denise dengan pembunuhan.

Winchester menolak mangsa dari bot di Tasik Seminole ketika mereka memburu sebelum menembak muka mangsa. Mayat mangsa disumbat dalam sangkar anjing dan ditanam di Talahassee.

Denise dan Winchester memberitahu polis, mangsa terjatuh dari bot dan gagal dikesan, kononnya dipercayai dimakan buaya.

Denise kemudian memfailkan petisyen supaya suaminya diisytiharkan mati akibat lemas bagi membolehkannya menerima faedah kematian serta menuntut insurans suaminya.

Pasangan kekasih itu berkahwin selama 10 tahun pada 2015 sebelum berakhir dengan perceraian.

Winchester memberitahu mahkamah, dia dan Denise bersetuju membunuh mangsa kerana salah satu polisi insurans Williams akan matang.

Rahsia mereka terbongkar selepas Winchester menculik Denise selepas mereka bercerai dan mengugutnya menutup mulut mengenai pembunuhan terbabit.

Dia yang dihukum penjara 20 tahun kerana menculik, berpaling tadah memberi keterangan terhadap Denise bagi mengelak dikenakan hukuman bagi pembunuhan itu dengan memberi maklumat lokasi mayat Williams.

Denise ditahan pada Mei 2018 selepas Winchester berkomplot dengan bekas isteri pertamanya, Kathy Thomas, yang bertindak sebagai pemberi maklumat kepada polis dan merakam perbualan telefon dengan wanita itu.

MIKE dan Denise mendirikan rumahtangga pada tahun 1994. FOTO Daily Mail
MIKE dan Denise mendirikan rumahtangga pada tahun 1994. FOTO Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:00 AM