GABBY Petito.
GABBY Petito.
Agensi

Washington: Mayat ditemui berhampiran Taman Negara Bridger-Teton, Wyoming berkemungkinan adalah pempengaruh (influencer) yang terkenal di Instagram dan TikTok, Gabby Petito.

Dalam satu sidang media, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Charles Jones sebelum ini mengatakan mayat itu sepadan dengan gambaran identiti wanita berusia 22 tahun itu.

Bagaimanapun, pihaknya sedang menunggu pengesahan forensik.

Insider melaporkan punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti.

"Siasatan forensik penuh belum selesai untuk mengesahkan 100 peratus kami sudah menemukan Gabby, tetapi keluarganya diberitahu mengenai penemuan ini," kata Jones.

Jones mengucapkan takziah kepada keluarga Petito.

FBI dengan agensi penguat kuasa lain terbabit dalam operasi pencarian Petito yang dilaporkan hilang oleh ibunya pada 11 September lalu.

Ibu kepada Petito, Nichole Schmidt mengatakan kali terakhir bercakap dengan anaknya adalah menerusi panggilan FaceTime, pada 24 Ogos lalu.

Schmidt turut mengatakan dia menerima pesanan ringkas pada 30 Ogos namun tidak percaya pesanan itu dihantar oleh anak perempuannya.

Petito terkenal di media sosial selepas mendokumentasikan pengembaraannya bersama tunangnya, Brian Laundrie dengan menaiki sebuah van yang diubah suai ke seluruh Amerika Syarikat.

Wanita itu berkongsi pengalaman uniknya menerusi tanda pagar popular #VanLife.

Ia menarik lebih 60,000 pengikut yang berminat mengetahui pengembaraan pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, Laundrie kembali ke rumah mereka di North Port, Florida pada 1 September.

Lelaki itu pulang tanpa bersama Petito.

Susulan kejadian, polis merampas van pasangan itu dan Laundrie kemudian dilaporkan hilang pada awal minggu ini selepas pergi ke hutan simpan.

Pihak berkuasa menamakan tunang mangsa sebagai suspek utama dan sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:30 AM