BERNAMA

Washington: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump didakwa dengan empat pertuduhan jenayah atas peranannya dalam cubaan membatalkan keputusan pilihan raya presiden 2020, dedah dokumen mahkamah, lapor Sputnik.

"Walaupun kalah, defendan (Trump) bertekad untuk terus berkuasa. Jadi selama lebih dua bulan selepas pilihan raya pada 3 November 2020, defendan menyebarkan pembohongan bahawa terdapat penipuan penentu keputusan dalam pilihan raya dan beliau sebenarnya sudah menang. Dakwaan itu adalah palsu dan defendan tahu bahawa ia adalah palsu," menurut pendakwaan pada Selasa.

Trump didakwa dengan satu pertuduhan bersubahat untuk menipu AS, satu pertuduhan bersubahat untuk menghalang prosiding rasmi, satu pertuduhan menghalang dan cuba menghalang prosiding rasmi serta satu pertuduhan bersubahat terhadap hak.

Dokumen mahkamah juga menunjukkan terdapat enam konspirator dalam kes berkenaan.

Pendakwaan baharu Trump dibuat di tengah-tengah beberapa siasatan lain ke atas potensi salah laku oleh beliau, termasuk atas tuduhan salah urus dokumen sulit.

Bekas naib presiden Mike Pence, yang bertanding menentang Trump dalam pemilihan utama Republikan mengambil kesempatan untuk mengingatkan pengundi bahawa beliau adalah orang yang "memilih Perlembagaan" apabila diasak oleh Trump semasa rusuhan itu.

"Pendakwaan hari ini menjadi peringatan penting: sesiapa yang meletakkan dirinya di atas Perlembagaan tidak boleh menjadi presiden Amerika Syarikat.

"Negara kita lebih penting daripada seorang lelaki. Perlembagaan kita lebih penting daripada kerjaya seorang lelaki," ciap Pence di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 2:38 PM