TRUMP (tengah) mungkin akan mengampunkan diri sendiri. FOTO/AFP
TRUMP (tengah) mungkin akan mengampunkan diri sendiri. FOTO/AFP
Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump yang menerima tekanan daripada peguam khas, Robert Mueller dalam siasatan terhadap peranan Russia pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 2016, mungkin mempunyai kuasa untuk mengampunkan dirinya sendiri.

Namun, peguam beliau Rudy Giuliani hari ini berkata, Trump tidak merancang untuk melakukan sedemikian.

“Beliau tidak mempunyai rancangan untuk mengampunkan diri sendiri tetapi mungkin beliau akan melakukannya. Perlembagaan AS memberi kuasa pengampunan kepada Presiden dan tidak menyatakan Presiden sendiri tidak boleh diampunkan,” kata Giuliani.

Bercakap dalam program ‘This Week’ stesen televisyen ABC, Giuliani berkata, isu itu adalah persoalan terbuka. Katanya, jawapannya ada pada perlembagaan.

Persoalan sama ada Trump akan disoal siasat Mueller masih terbuka, kata Giuliani sambil menambah peguam Presiden berpendapat Trump tidak perlu berbuat demikian, setakat ini.

Mueller kini menyiasat sama ada Russia campur tangan dalam pilihan raya dan sama ada pasukan kempen Trump bersubahat dengan Moscow.

Siasatan Mueller setakat ini, sudah membawa kepada tuduhan jenayah terhadap beberapa pembantu kempen Trump termasuk bekas pengerusi pasukan kempen, Paul Manafort.

Siasatan turut menumpukan kepada persoalan sama ada Trump cuba menghalang siasatan terhadap campur tangan Russia secara tidak sah. Russia dan Trump menafikan bersubahat dan Presiden turut menafikan beliau cuba menyekat siasatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:33 AM