BELON didakwa alat pengintip China dilihat di ruang udara di Billings, Montana, AS, pada 1 Februari 2023. FOTO fail Reuters
BELON didakwa alat pengintip China dilihat di ruang udara di Billings, Montana, AS, pada 1 Februari 2023. FOTO fail Reuters
Agensi

Washington: Satelit pengintip China berupa sebuah belon yang berjaya ditembak jatuh Amerika Syarikat (AS), didakwa sempat menghantar data ke China dalam masa nyata.

Media tempatan melaporkan, belon yang terbang di seluruh negara tahun ini berjaya mengumpul sumber risikan dari pangkalan tentera AS, selama beberapa hari sebelum ditembak jatuh.

Memetik seorang pegawai AS, belon itu dapat menghantar data ke Beijing dalam masa nyata, lapor NBC News.

Katanya, belon itu mengambil isyarat elektronik berbanding merakam gambar.

"Kita berjaya mengehadkan kebolehan mengumpul risikan belon itu ketika ia terapung di seluruh negara.

"Kita menjejaki belon itu di atas Alaska dan Kanada sebelum ia memasuki semula ruang udara AS pada awal Februari," katanya.

Bagaimanapun, Rumah Putih tidak mengesahkan laporan itu.

Belon berketinggian 60 meter itu ditembak jatuh jet pejuang AS di luar pantai Carolina Selatan pada 4 Februari lalu.

Pegawai China berkata, ia adalah belon cuaca awam dan menyifatkan tindakan AS menembak jatuh adalah keterlaluan.

Semalam, jurucakap Jabatan Pertahanan Sabrina Singh mengesahkan, FBI masih meneliti serpihan belon.

"Kami masih melakukan penilaian tentang apakah (maklumat risikan) yang boleh dikumpulkan China tetapi kami tahu langkah yang kami ambil memberikan sedikit nilai tambahan kepada apa yang mereka dapat kumpulkan daripada satelit sebelum ini," katanya.

Dalam beberapa minggu selepas belon itu ditembak jatuh, jet pejuang AS menembak jatuh beberapa belon lain yang disyaki berasal dari China.

Insiden itu mencetuskan perbalahan diplomatik dan menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken membatalkan perjalanan ke China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 1:33 PM