ZAIDIN belum ditemui selepas empat hari keluar dari rumah. FOTO Ihsan PDRM.
ZAIDIN belum ditemui selepas empat hari keluar dari rumah. FOTO Ihsan PDRM.
Ahmad Hasbi


Tampin: Sudah empat hari berlalu, namun tiada siapa tahu nasib yang menimpa seorang lelaki yang keluar dari rumahnya di Jalan Gemas, Kampung Keru Alai, di sini, sejak pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, Zaidin Zainal, 50, keluar rumah kira-kira jam 9.30 pagi Ahad menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna jingga.

"Seorang lelaki membuat laporan polis mengenai adik iparnya yang masih belum pulang ke rumah selepas keluar bersama motosikal nombor pendaftaran NCB 2412 yang digunakan.

"Pengadu cuba menghubungi adik iparnya namun tiada sebarang jawapan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu keluar rumah untuk mengambil motosikalnya yang rosak di Batang Melaka, dekat Jasin, Melaka.

"Ketika keluar dia memakai baju berwarna hitam dan berseluar pendek berwarna biru. Dia mempunyai ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat kira-kira 65 kilogram (kg).

"Lelaki itu juga berkepala botak dan berkulit hitam manis," katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan orang hilang (OH) diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 064431999 atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hasmadi Haron di talian 064411222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Caption: TAMPIN 9 MEI 2024. Zaidin Zainal, 50,keluar rumah Jalan Gemas, Kampung Keru Alai, di sini kira-kira jam 9.30 pagi Ahad lalu menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna jingga dan tidak pulang sehingga sekarang. FOTO IHSAN POLIS.

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:29 PM