PENTAGON. FOTO fail AFP
PENTAGON. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Jet pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh objek misteri sebesar kereta yang dikesan kira-kira 40,000 kaki di atas Alaska.

Bagaimanapun, masih belum jelas objek berkenaan dan Rumah Putih menggambarkannya sebagai 'objek altitud tinggi'.

Tetapi insiden itu menandakan kali kedua dalam seminggu di mana tindakan tegas diambil untuk menembak jatuh sesuatu yang dianggap sebagai ancaman di langit AS.

"Kami memanggil ini sebagai 'objek' kerana itulah penerangan terbaik yang kami ada sekarang," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih kepada pemberita, John Kirby

Sabtu minggu lalu, jet pejuang menjatuhkan belon pengintip China di luar pantai Carolina Selatan.

Tetapi dalam kes itu, tentera tahu apa yang mereka tembak jatuh dan dari mana ia datang, kata Kirby.

Bagaimanapun, dalam kes terbaharu ini, ia adalah misteri.

"Ia jauh lebih kecil daripada belon pengintip yang kami (tembak jatuh) pada Sabtu (minggu) lalu," kata Kirby sambil menyatakan belon dikenal pasti milik China pada minggu lalu, sebesar saiz dua bas dan jauh lebih tinggi daripada objek baharu.

Objek terbaharu itu mula dikesan pada malam Khamis dan jet pejuang terbang dengannya untuk cuba melihat apa itu, tetapi sukar untuk dijelaskan.

"Ia adalah objek kecil dan dikenal pasti pesawat pejuang yang terbang dengan kelajuan yang cukup tinggi," kata Kirby.

Pada Jumaat, mereka mencuba lagi (untuk mengenal pasti) sebelum berjaya menembaknya.

"Adalah sukar bagi juruterbang untuk mengumpul banyak maklumat," katanya.

Objek itu nampaknya tidak mempunyai keupayaan yang sama seperti belon pengintip China, namun ia dikenal pasti tidak mempunyai pemandu.

Menjelang pagi Jumaat, Presiden Joe Biden memberi arahan untuk menembak objek itu atas saranan pemimpin Pentagon kerana ia menimbulkan risiko kepada pesawat awam pada ketinggian itu, kata Kirby.

Objek terbaharu itu jatuh di utara Alaska iaitu kawasan berhampiran sempadan Kanda, namun ia terhempas di air beku.

"Kita tidak tahu siapa pemiliknya, sama ada milik kerajaan, korporat atau milik persendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 10:15 AM