Firdaus Hashim


Shah Alam: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah memberi bayangan aksi Piala Sumbangsih babitkan JDT dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim malam esok seharusnya diteruskan.

Menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya, Pemangku Sultan Johor itu memuat naik kenyataan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud sesuatu persembahan perlu diteruskan.

"In life, the show must go on", katanya sambil menulis #thegameisrigged #whatcanyoudo.

Walaupun hantaran Tunku Ismail itu tidak ditujukan kepada sesiapa, namun berdasarkan perkembangan isu semasa ia seolah reaksi susulan keputusan Selangor FC menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih, malam esok.

Beberapa jam sebelum ciapan Tunku Ismail itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj nyata kecewa dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang meneruskan pertemuan kedua-dua pasukan itu.

Jelas Tuanku Sultan, baginda memberi sokongan penuh di atas keputusan Red Giants yang memutuskan menarik diri daripada aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan berlangsung esok.

Ujar baginda, susulan beberapa insiden mengancam nyawa babitkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan.

Semalam, MFL menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan aksi terbabit selepas badan pengelola itu mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

Menurut MFL, keputusan meneruskan perlawanan Sumbangsih dibuat selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

Dianggarkan seramai 1,500 anggota polis dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

Kelmarin, Selangor FC menghantar permohonan menangguhkan aksi merebut Piala Sumbangsih selepas bintang Red Giants, Faisal Halim diserang oleh dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Ekoran kejadian itu, rata-rata pemain Selangor FC bimbang dengan tahap keselamatan menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 1:03 PM