Pati warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM
Pati warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 226 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina dipindahkan dari Pelabuhan Sandakan untuk pulang ke negara asal, semalam.

Mereka adalah tahanan di Depot Imigresen Sandakan yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 153 lelaki dan 56 wanita.

Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun ke bawah.

"Ini adalah program pemindahan siri tujuh untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.

"Semua PATI berusia lingkungan dua hingga 73 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan sehingga tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

"Pemindahan Pati akan dilakukan setelah melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

"Operasi Pemindahan ini adalah adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:22 PM