FOTO fail menunjukkan belon udara China yang pernah melintasi Amerika Syarikat pada Februari 2023. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan belon udara China yang pernah melintasi Amerika Syarikat pada Februari 2023. FOTO AFP
AFP

Taipei: Kementerian Pertahanan Taiwan, Jumaat lalu, mendakwa mengesan belon dari China melintasi garisan median yang dikatakan membelah selat sensitif yang memisahkan pulau itu dari China.

"Belon Republik Rakyat China (RPC) dikesan melintasi garisan median Selat Taiwan atau 101 batu nautika (187 kilometer) ke barat daya Keelung," kata kementerian itu, merujuk ke sebuah bandar di utara Taiwan.

"Belon itu menuju ke timur dan hilang..." tambahnya.

Kementerian itu memasukkan grafik yang menunjukkan laluan belon itu.

"Pemahaman awal kami ialah ia mungkin belon cuaca yang hanyut ke arah Taiwan akibat angin monsun," kata Menteri Pertahanan Chiu Kuo-cheng kepada pemberita.

Beliau berkata, belon seperti itu boleh digunakan untuk mengumpul penyelidikan meteorologi dan data, seperti kesan kuasa angin.

Khamis lalu, kementerian melaporkan ia mengesan tujuh pesawat China melintasi garis tengah pada 7.30 malam.

"Pesawat itu juga menjalankan rondaan tempur bersama dengan kapal (China)," katanya, sambil menambah ia sudah memantau dan menugaskan sistem peluru berpandu berasaskan darat untuk bertindak balas.

Satu laporan pada pagi Jumaat berkata, 27 pesawat melintasi garisan median dalam tempoh 24 jam, berakhir 6 pagi.

China, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meningkatkan tekanan ketenteraan dan politik ke atas Taiwan yang demokratik, yang didakwanya sebagai wilayahnya.

Walaupun Beijing menghantar kapal terbang dan kapal perang di sekitar Taiwan hampir setiap hari, aktiviti waktu malam oleh pesawat China dan kemunculan belon, jarang berlaku.

Penganalisis pertahanan, Su Tzu-yun berkata, terdapat beberapa contoh belon cuaca China terapung di atas pulau utama Taiwan dan kawasan terpencil yang lebih kecil, namun ia tidak menimbulkan ancaman ketenteraan.

Katanya, belon yang dikesan pada Khamis lalu itu mungkin bahan ujian yang disengajakan.

"Selain tujuan meteorologi, ia juga boleh menjadi ujian yang sengaja dijalankan oleh tentera China atau isyarat politik," katanya, sambil menambah bahawa ia boleh menjadi satu bentuk gangguan politik.

Pada Februari lalu, belon pengintip China yang terbang melintasi Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh oleh jet pejuang AS, menyebabkan kekecohan diplomatik.

Belon besar itu, yang membawa muatan elektronik yang besar, terbang di atas fasiliti ketenteraan AS yang sensitif dan menimbulkan kebimbangan Beijing sedang mengumpul maklumat perisikan penting.

Seorang pegawai AS berkata, belon itu mempunyai berbilang antena termasuk tata susunan yang berkemungkinan mampu mengumpul dan mengesan lokasi komunikasi.

China menafikan bahawa belon itu adalah untuk mengumpul risikan dan berkata, ia tersasar sebelum memasuki ruang udara AS.

Pentagon membuat kesimpulan pada bulan Jun bahawa belon itu tidak mengumpul data.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 10:22 AM