SWAFOTO diambil dalam kokpit pesawat pengintip U-2, ketika ia  terbang di atas belon pengawasan China. FOTO Jabatan Pertahanan AS
SWAFOTO diambil dalam kokpit pesawat pengintip U-2, ketika ia terbang di atas belon pengawasan China. FOTO Jabatan Pertahanan AS
Agensi

Washington: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan swafoto yang diambil dalam kokpit pesawat pengintip U-2, ketika seorang juruterbang terbang di atas belon pengawasan China yang ditembak jatuh oleh tentera AS, awal bulan ini.

Swafoto yang diambil oleh juruterbang U-2, menunjukkan bayang-bayang pesawat pada belon dan imej jelas muatan belon itu ketika ia melintasi Amerika Syarikat, lapor CNN.

Belon itu pertama kali dilihat oleh AS pada 28 Januari lalu dan akhirnya ditembak jatuh oleh tentera AS di luar pantai Carolina Selatan, selepas melintasi negara itu.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara berkata, belon altitud tinggi itu mampu menjalankan operasi risikan.

Pegawai berkata, mereka memutuskan untuk tidak menembak belon itu ketika melintasi daratan di AS kerana bimbang serpihan yang jatuh boleh mencederakan orang awam atau harta benda di tanah.

Komander Komando Utara AS dan Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (Norad) Jeneral Glen VanHerck berkata, belon itu terbang dengan ketinggian 200 kaki atau kira-kira 60 meter (m) dengan muatan seberat beberapa ribu kilogram.

Pegawai juga berpendapat, belon itu tidak mampu melakukan pengumpulan risikan yang ketara kerana AS mengambil langkah serta-merta sebaik mengesannya.

U-2 ialah pesawat peninjau dan pengawasan satu tempat duduk, altitud tinggi dengan "ciri seperti glider," menurut Tentera Udara.

Oleh kerana pesawat itu kerap "diterbangkan pada ketinggian lebih 70,000 kaki (kira-kira 31,000 m) ," juruterbang "mesti memakai sut tekanan penuh sama seperti yang dipakai oleh angkasawan."

Gambar yang dikeluarkan pada Rabu lalu jelas menunjukkan U-2 di atas belon yang berlegar 60,000 kaki (kira kira 27,000 m) apabila ia dikesan di atas Montana, AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 10:07 AM