FOTO fail menunjukkan belon udara China yang dikesan di AS, pada 2 Februari 2023. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan belon udara China yang dikesan di AS, pada 2 Februari 2023. FOTO AFP
Agensi

Washington: Pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) memintas belon udara altitud tinggi yang terbang di bahagian barat negara itu dan menentukan ia tidak mengancam keselamatan, lapor BBC.

Pegawai AS berkata, objek kecil itu tidak boleh dikendalikan dan tidak membahayakan keselamatan penerbangan, walaupun asal dan tujuannya tidak diketahui.

Belon udara itu dikesan pada Jumaat di Colorado dan Utah, terbang ke arah timur.

Tahun lalu, AS menembak jatuh belon udara China selepas ia melintasi negara itu dari Alaska ke pantai timur negara ni.

Dalam insiden terbaharu ini, objek itu dikesan pada ketinggian 13,400 meter dan mendorong pegawai AS menghantar jet pejuang untuk menyiasat.

Komando Pertahanan Angkasa Amerika Utara (Norad) yang bertanggungjawab untuk pertahanan udara AS dan Kanada berkata, jet pejuangnya memintas objek itu di atas Utah.

Kenyataan Norad berkata, pihaknya akan terus menjejak dan memantau objek berkenaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sudah menentukan belon udara itu tidak mendatangkan bahaya kepada keselamatan penerbangan, menurut Norad.

Belon udara itu dijangka berada di atas Georgia pada malam Jumaat, seorang pegawai yang tidak dinamakan memberitahu kepada media.

Sumber itu berkata, belon udara itu diperbuat daripada sejenis bahan poliester yang dipanggil Mylar, dengan kotak kecil berbentuk kiub digantung di bawahnya.

Episod penampakan belon udara di AS, sebelum ini, mencetuskan krisis diplomatik antara Washington dan Beijing.

Pihak berkuasa China menafikan ia adalah pesawat pengintip, sebaliknya menyifatkan ia sebagai kapal cuaca yang sesat.

Susulan insiden belon udara China itu, Setiausaha Negara Antony Blinken membatalkan perjalanan ke China, menyebut kehadiran kapal udara itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Sebuah jet pejuang F-22 kemudian memusnahkan pesawat itu di luar pantai Carolina Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 3:05 PM