NIZAN Johar (tengah) pada mesyuarat persiapan terakhir menyambut ketibaan bakal jemaah haji di LTSM. FOTO Baharom Bakar.
NIZAN Johar (tengah) pada mesyuarat persiapan terakhir menyambut ketibaan bakal jemaah haji di LTSM. FOTO Baharom Bakar.
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Seorang remaja berusia 15 tahun antara 2,180 daripada Terengganu terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.

Remaja berkenaan akan melapor diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu ini.

Pengarah Tabung Haji (TH) negeri, Nizan Johar Abdul Wahab, berkata seramai 142 bakal jemaah haji akan berlepas melalui stesen di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke KLIA.

Katanya, TH negeri menyediakan lapan penerbangan untuk membawa 1,136 daripada 2,180 orang yang terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.

"Seramai 142 orang bakal jemaah haji pertama daripada negeri ini akan melaporkan diri di LTSM Sabtu ini.

"Kita menasihatkan semua bakal jemaah haji melaporkan diri di LTSM selewat-lewatnya jam 4 petang Sabtu ini," katanya ketika ditemui di LTSM, hari ini.

Terdahulu, Nizan Johar bersama beberapa agensi kerajaan termasuk pegawai daripada LTSM mengadakan mesyuarat khas dan meninjau persiapan akhir menyambut ketibaan bakal jemaah haji melalui penerbangan daripada Terengganu.

Mengulas lanjut, Nizan Johar berkata, 142 orang jemaah haji daripada negeri ini akan berlepas daripada LTSM ke KLIA melalui penerbangan pertama kira-kira jam 8 malam, Sabtu ini.

Ketika diminta mengulas cuaca panas di Makkah, Nizan Johar berkata, semua bakal jemaah haji diminta mengurangkan aktiviti sepanjang berada di tanah suci.

Katanya, bakal jemaah haji juga diingatkan mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, selain minum air secukupnya sepanjang mengerjakan ibadah haji.

"Kita dimaklumkan, cuaca panas di Makkah dijangka mencecah sehingga 48 darjah Celcius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:51 PM