JUSTIN Trudeau. FOTO The Canadian Press/ AP
JUSTIN Trudeau. FOTO The Canadian Press/ AP
AP

Ottawa: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat (AS) yang menembak jatuh 'objek tidak dikenali' terbang tinggi di atas Yukon, adalah atas arahan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.

Trudeau pada Sabtu berkata, tindakan itu adalah sehari selepas AS mengambil tindakan serupa di Alaska.

Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara, gabungan organisasi AS-Kanada yang menyediakan pertahanan ruang udara bersama ke atas kedua-dua negara, mengesan objek itu terbang pada altitud tinggi pada petang Jumaat di atas Alaska, kata pegawai AS.

Objek itu melintasi ruang udara Kanada pada Sabtu.

Trudeau bercakap dengan Presiden Joe Biden, dan juga kemudian mengarahkan objek itu ditembak jatuh.

Jet Kanada dan AS beroperasi sebagai sebahagian daripada Pusat Pertahanan Keselamatan Amerika Utara (Norad), namun jet AS yang menembak jatuh objek itu.

Jet pejuang F-22 kini sudah mengeluarkan tiga objek di ruang udara AS dan Kanada selama tujuh hari, ia satu perkembangan menakjubkan yang menimbulkan persoalan mengenai apa sebenarnya objek itu dan siapa menghantarnya.

Sekurang-kurangnya satu daripada objek yang ditembak itu dipercayai belon pengintip dari China, tetapi dua lagi belum dikenal pasti secara terbuka.

Walaupun Trudeau menyifatkan objek itu sebagai 'tidak dikenal pasti', jurucakap Norad, Mejar Olivier Gallant berkata, tentera sudah pun menentukan apa sebenarnya objek itu tetapi tidak akan mendedahkan butiran.

Trudeau berkata, tentera Kanada akan mendapatkan serpihan untuk kajian. Yukon adalah wilayah paling barat Kanada dan antara bahagian paling sedikit penduduknya di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 10:11 AM