PIOTR Bobak. FOTO Agensi
PIOTR Bobak. FOTO Agensi
AP

Chicago: Lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh mahkamah di sini, semalam, atas pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan seorang remaja perempuan hamil apabila perut mangsa dipotong dan bayinya dikeluarkan, pada April 2019.

Piotr Bobak, 44, yang juga kekasih suspek, Clarisa Figueroa pada masa kejadian, akan dibebaskan daripada hukuman itu dalam tempoh empat bulan kerana sudah ditahan di penjara selama tiga tahun dan lapan bulan.

Mengikut fakta kes, mangsa, Marlen Ochoa-Lopez, 19, hamil sembilan bulan pergi ke rumah suspek yang dikenalinya menerusi Facebook selepas diperdaya dengan barangan bayi percuma.

Anak perempuan suspek, Desiree Figueroa mengalih perhatian mangsa dengan menunjukkan album gambar sebelum ibunya mencekik mangsa.

Selepas itu, perut mangsa dipotong dengan pisau daging dan bayi lelakinya dikeluarkan dari rahim.

Beberapa jam kemudian, suspek dikatakan berlari keluar dari rumah dengan mendakwa baru melahirkan bayi lelaki dan sudah tidak bernyawa.

Bayi itu mengalami kecederaan otak dan menerima rawatan di hospital, namun disahkan meninggal dunia beberapa bulan kemudian, manakala mayat mangsa ditemui di dalam tong sampah.

Dalam perbicaraan kes itu, Bobak mendakwa diperdaya apabila dia tidak mengetahui rancangan kekasih dan anak perempuan kekasihnya tetapi pendakwaan mendapati lelaki itu terbabit membersihkan lokasi kejadian.

Terdahulu, dua beranak terbabit mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh, menculik, memotong mayat dan menyembunyikan pembunuhan.

Kes mereka masih belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 10:15 AM