Clarisa, Desiree dan Piotr ditahan berkaitan pembunuhan seorang remaja hamil. FOTO  AFP
Clarisa, Desiree dan Piotr ditahan berkaitan pembunuhan seorang remaja hamil. FOTO AFP
AFP

CHICAGO: Polis mendakwa tiga orang semalam berkaitan pembunuhan seorang remaja hamil yang bayinya dikeluarkan daripada rahim mangsa selepas kematiannya.

Polis berkata, Marlen Ochoa-Lopez, 19, diminta ke rumah seseorang dikenalinya pada 23 April dengan janji diberikan persiapan bayi percuma, sebaliknya mangsa dicekik sehingga mati dan bayinya dikeluarkan daripada rahim.

Clarisa Figueroa, 46, dan anak perempuannya, Desiree, 24, didakwa membunuh dengan niat.

Piotr Bobak, 40, yang digambarkan polis sebagai teman lelaki Figueroa didakwa dengan tuduhan menyembunyikan pembunuhan.

Pada sidang akhbar, ketua polis Chicago, Eddie Johnson, menyifatkan jenayah itu ‘menjijikkan dan amat mengganggu’.

“Saya tidak dapat berpura-pura membayangkan apa dilalui keluarga mangsa ketika ini. Mereka sepatutnya meraikan kelahiran bayi. Sebaliknya, mereka meratapi kehilangan ibu dan kemungkinan juga anaknya,” kata Johnson.

Polis menemui mayat Ochoa-Lopez disembunyikan dalam tong sampah ketika menyampaikan waran menggeledah di rumah Figueroa malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 10:05 AM