TAYLOR Parker. FOTO AFP
TAYLOR Parker. FOTO AFP
AFP

Washington: Wanita Texas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang kenalan yang hamil pada Oktober 2020, dengan mengeluarkan dan mencuri bayi di dalam rahim mangsa.

Hukuman terhadap suspek, Taylor Parker, 29, dijatuhkan pada Rabu lalu di Texas, selepas perbicaraan selama beberapa minggu yang bermula pada September, menurut dokumen mahkamah.

Selama berbulan-bulan, Parker memberitahu teman lelakinya dan saudara-maranya bahawa dia hamil.

Dia menyiarkan mengenai berita itu di media sosial dan membeli perut silikon.

Bagaimanapun, itu semua pembohongan berikutan dia sudah menjalani histerektomi dan tidak boleh mempunyai anak.

Pada 9 Oktober 2020, Parker pergi ke rumah Reagan Simmons-Hancock, seorang kenalan berusia 21 tahun dan menikamnya lebih 100 kali.

Selepas membedah perut mangsa untuk mengambil bayi, dia beredar meninggalkan anak perempuan mangsa yang berusia tiga tahun yang tidur di bilik lain di kediaman itu.

Parker ditangkap tidak lama selepas itu ketika memandu keretanya kira-kira 15 kilometer dari lokasi pembunuhan itu.

Bayi yang baru lahir berada di pangkuannya.

Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa baru sahaja melahirkan anak.

Bayi itu dimasukkan ke hospital tetapi dilaporkan meninggal dunia.

Parker kemudian dibicarakan di bandar kecil New Boston, timur Dallas.

Beberapa minggu sebelum pembunuhan itu, Parker mula mencari wanita hamil di kedai dan wad bersalin, menurut keterangan polis pada perbicaraan itu.

Sebelum kejadian, dia menonton banyak video wanita bersalin dan pembedahan Caesarean.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 10:47 AM