SUSPEK lelaki dibawa ke lokasi dia membuang mayat bayi perempuan di Sungai Perak, Bota. FOTO ihsan polis
SUSPEK lelaki dibawa ke lokasi dia membuang mayat bayi perempuan di Sungai Perak, Bota. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan pasangan kekasih yang dipercayai membuang mayat bayi perempuan ke Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP), Teluk Kepayang, Bota, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pasangan kekasih yang berusia 22 tahun itu ditahan susulan aduan awam selepas menyedari bau kurang menyenangkan dari sebuah rumah di Taman Maju, Seri Iskandar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, suspek wanita mengaku hamil tujuh bulan dan melahirkan bayi perempuan dalam keadaan bernyawa di bilik tidurnya pada 3 pagi, Selasa lalu.

"Wanita terbabit melahirkan bayinya tanpa pengetahuan ahli keluarga yang tinggal serumah dan bayi terbabit kemudian meninggal dunia.

"Suspek kemudian membungkus mayat bayi itu dan menyimpannya dalam almari selama tiga hari. Suspek memaklumkan bayi terbabit dilahirkan hasil hubungannya bersama teman lelaki," katanya dalam kenyataannya malam ini.

Barudin berkata, wanita berkenan menyerahkan mayat bayi terbabit kepada teman lelaki yang kemudian dibuang ke Sungai Perak.

"Susulan itu, polis berjaya menahan suspek lelaki di rumahnya di Seri Iskandar dan dia mengaku membuang mayat bayi berkenaan ke dalam Sungai Perak berhampiran rumah pam LAP.

"Lelaki terbabit mengaku membuang mayat bayi itu dengan cara menenggelamkan mayat dengan empat batu bata pada 2 pagi semalam," katanya.

Katanya, bagaimanapun setakat ini mayat bayi berkenaan masih belum ditemui sehingga lewat petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 12:08 AM