RESTORAN robot pertama McDonald's di Texas. FOTO Agensi
RESTORAN robot pertama McDonald's di Texas. FOTO Agensi
Agensi

Houston: McDonald's mula menguji restoran robot pertamanya di Texas dan pengenalan inovasi itu mencetuskan perdebatan daripada pengguna.

Portal Newsweek melaporkan, cawangan di Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS) itu beroperasi secara automatik sepenuhnya dan tidak menggunakan pekerja untuk mengambil dan menyediakan pesanan.

Ia tular dalam talian selepas pengguna berkongsi video di TikTok dan Instagram (IG) menerusi akaun, foodiemunster.

Perkongsian itu meraih 1.2 juta tontonan dan menunjukkan bagaimana pelanggan boleh menggunakan skrin automatik untuk memesan makanan dan mengambilnya melalui mesin.

McDonald's dalam satu kenyataan menjelaskan restoran itu dilengkapi ciri-ciri baharu termasuk lorong Order Ahead di mana pelanggan boleh menerima pesanan mereka menerusi tali sawat penyampai (conveyor belt).

Restoran itu memperkenalkan inovasi itu bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Apabila anda melangkah masuk ke dalam konsep restoran ujian ini, anda akan perasan ia jauh lebih kecil daripada restoran McDonald's tradisional di AS. Mengapa? Ciri-ciri di dalam dan luar dirangka kepada pelanggan yang merancang untuk menjamu selera di rumah atau dalam perjalanan," kata McDonald's dalam kenyataan itu.

Di dalam restoran, terdapat bilik pengambilan dan penghantaran.

Terdapat juga kiosk iaitu tempat pelanggan membuat pesanan untuk bawa pulang dan rak pengambilan untuk pesanan.

"Di luar restoran, terdapat beberapa ruang yang dikhaskan untuk mengambil pesanan di tepi jalan, serta parkir ditetapkan untuk pemandu penghantaran," katanya.

Bagaimanapun, ada segelintir pengguna mengkritik inovasi itu yang dilihat boleh menyebabkan ramai individu akan hilang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 12:56 PM